WILAYAH Pattani, Yala dan Narathiwat yang pernah menjadi sebahagian daripada Kesultanan Melayu Patani, juga terkenal sebagai Negeri Serambi Mekah.

Menjelang akhir abad ke-18 hingga sepanjang abad ke-19, Patani berperanan sebagai pusat tamadun Melayu Islam menerusi kelahiran ulama-ulama terkenal serta kitab-kitab agama mereka yang masyhur.

Kumpulan ulama ini bukan sahaja terkenal di rantau Melayu malah diakui sebagai alim ulama hingga ke negara-negara Arab, Turkiye dan utara Afrika.

Berdasarkan latar sejarah berkenaan, masyarakat Melayu Patani di Selatan Thai sering digambarkan sebagai masyarakat yang bersikap konservatif. Begitupun, tanggapan itu kini mungkin boleh disanggah, jika mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand baru-baru ini, di mana parti yang bersifat progresif, Move Forward semakin mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu, terutamanya dalam kalangan anak muda.

Move Forward berjaya pikat hati anak muda Melayu

Hakikatnya, tahap populariti Move Forward, terutamanya dalam kalangan orang muda tidak boleh disangkal lagi. Pada pilihan raya gabenor dan majlis bandaraya, ia menang hampir semua kerusi yang dipertandingkan.

Begitupun ada yang yang sangsi parti yang memperjuangkan isu perkahwinan sejenis dan hak untuk pekerja seks ini boleh mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Thailand di luar bandar, termasuklah orang Melayu Islam yang menjadi penduduk majoriti di tiga wilayah Selatan Thai - Pattani, Yala, Narathiwat. (Ketiga-tiga wilayah ini mempertandingkan 13 kerusi parlimen). Ramai juga yang tidak senang dengan beberapa cadangannya sebelum ini, terutamanya melibatkan undang-undang berkenaan reformasi monarki.

Tetapi bagi pemerhati politik, populariti Move Forward dalam kalangan anak muda Melayu sudah boleh diduga lebih awal. Tinjauan semasa kempen berlangsung mendapati parti itu sangat popular dalam kalangan orang muda di Selatan Thai, termasuk anak-anak muda yang menuntut di sekolah agama dan pondok. 

Sementara satu lagi tinjauan dalam kalangan penuntut Thai di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mendapati 77.8 peratus responden menyatakan sokongan kepada Move Forward.

Antara tawaran Move Forward yang paling berkesan dalam kalangan anak muda Melayu ialah menyentuh soal reformasi tentera, yang turut melibatkan pemansuhan amalan kerahan tentera.

Hasilnya, Move Forward berada di tangga kedua dalam kedudukan 'senarai parti' di belakang Parti Prachachart (Parti Ummah), dan pada masa sama, seorang calon Melayu Move Forward dari Wilayah Pattani. Ramadan Panjor, berjaya mendapat tempat dalam Parlimen, juga menerusi kaedah 'senarai parti'.



Move Forward juga sangat bijak mengambil hati orang Muslim. Walaupun berstatus minoriti dengan hanya 5% daripada keseluruhan populasi, parti berkenaan sangat peka terhadap sensitiviti dan kemahuan orang Islam di negara majoriti Buddha itu.

Antara yang tersenarai dalam tawaran khusus buat umat Islam Thai ialah reformasi Haji dan Umrah dengan mencadangkan pindaan Akta Hal Ehwal Haji, yang antara lain mempermudahkan dan mengurangkan kos haji para jemaah. Move Forward turut mencadangkan cuti umum di seluruh negara untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Ketika ini cuti umum hanya diberikan di lima wilayah paling di Selatan Thai. Turut menarik perhatian ialah khidmat berkhatan secara percuma di semua hospital awal untuk semua kanak-kanak dan mualaf.

Move Forward tubuh Kerajaan?

Ketika artikel ini ditulis, proses rundingan membentuk kerajaan masih lagi berjalan. Lima parti pembangkang sedang memperincikan tawaran dan permintaan masing-masing sebelum bersetuju untuk bergabung. Mereka bagaimanapun mempunyai masa yang panjang untuk mencari kata sepakat.

Peraturan pilihan raya Thailand menetapkan tempoh sehingga 60 hari untuk Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mengesahkan keputusan pilihan raya berkenaan.

Walaupun menang bergaya pada PRU ini, pakatan parti pembangkang hanya ada 309 kerusi. Ia memerlukan 376 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Bagi pakatan parti yang disokong tentera pula, walaupun hanya memperoleh 191 kerusi, tapi ia diyakini mampu memperoleh sokongan senator-senator, menjadikan keseluruhan kerusi yang boleh diperoleh mereka sebanyak 441.

Peraturan lantikan Perdana Menteri Thailand menetapkan bahawa senator perlu turut terlibat dalam pemilihan ketua kerajaan itu. Ketika ini sudah ada dalam kalangan senator yang enggan menyokong Move Forward atas sebab yang berkait dengan isu monarki.



Untuk menubuhkan kerajaan, Move Forward hanya ada dua pilihan. Pertama menarik penyertaan lebih banyak parti lawan untuk bersama. Atau kedua, memujuk kalangan senator untuk akur kepada suara rakyat dan membelakangkan mandat tentera yang melantik mereka ke jawatan berkenaan. Ini akan kita ketahui dalam tidak lama lagi.

Jadi nasib pemimpin Move Forward Pita Limjaroenrat, belum tentu pasti sebagai perdana menteri, terutamanya jika dia gagal untuk dapat sekurang-kurangnya 376 sokongan, termasuk daripada senator.

Apapun yang terjadi, Move Forward sudah berupaya mencipta sejarah dalam politik Thailand apabila merekodkan kemenangan luar jangka. Ini memberi gambaran jelas betapa rakyat Thailand mahukan perubahan tuntas - reformasi - dalam setiap bidang, terutamanya yang menyentuh isu taboo yang sudah lama mengakar dalam masyarakat.

Kemenangan Move Forward juga memberi isyarat bahawa rakyat Thailand sudah keluar daripada pertembungan antara kepompong politik konservatif dan politik populisme, sebaliknya lebih mengambil berat soal polisi dan tadbir urus.

Kecaknaan Move Forward terhadap psikografi Thailand yang beragam dan rencam, mengambarkan pengakuan bahawa Thailand itu terdiri daripada masyarakat berbilang budaya dan agama. Ia menjadi pelengkap kepada kemampuan Move Forward untuk merangkul ideal dan cita-cita Thai pada abad ke-21.



* Shafizan Johari merupakan editor di Astro AWANI dan pelajar sarjana di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI