Skip to main content

Dunia

Musk kalah kes mahkamah terhadap OpenAI

Elon Musk appears in the courthouse to attend the trial in his lawsuit over OpenAI for-profit conversion at a federal courthouse, in Oakland, California, US, on Apr 30, 2026. Musk on May 4, 2026, agreed to pay US$1.5 million to end a government lawsuit that accused him of breaking stock market rules when he was secretly buying up shares of Twitter before his takeover of the social media platform. (File photo: Reuters/Manuel Orbegozo)
Juri mendapati semua tuntutan Musk terhadap OpenAI tidak boleh diteruskan kerana telah melepasi tempoh had masa undang-undang. - Foto fail/REUTERS

OAKLAND: Usahawan teknologi Elon Musk kalah dalam pertarungan undang-undang berprofil tinggi terhadap OpenAI selepas juri di California memutuskan beliau memfailkan saman terlalu lewat.

Dalam keputusan sebulat suara, juri mendapati semua tuntutan Musk terhadap OpenAI dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman, tidak boleh diteruskan kerana telah melepasi tempoh had masa undang-undang atau 'statute of limitations'.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan selama tiga minggu di mahkamah persekutuan di Oakland, dengan juri hanya mengambil masa kurang dua jam untuk mencapai keputusan.

Musk sebelum ini mendakwa Altman melanggar perjanjian asal OpenAI sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan menukar syarikat itu kepada entiti berorientasikan keuntungan.

Beliau turut mendakwa telah diperdaya selepas menyumbangkan kira-kira AS$38 juta pada peringkat awal penubuhan OpenAI, yang diasaskan pada 2015 untuk membangunkan kecerdasan buatan (AI) bagi manfaat manusia sejagat.

Musk meninggalkan syarikat itu pada 2018, sebelum OpenAI menubuhkan cabang perniagaan berorientasikan keuntungan pada 2019.

Dalam saman yang difailkan pada 2024, Musk turut menuduh Microsoft membantu OpenAI dalam peralihan tersebut, namun dakwaan itu juga ditolak berikutan keputusan juri.

Keputusan juri dibuat berdasarkan faktor teknikal berkaitan tempoh masa, dan bukannya menilai sama ada dakwaan Musk mempunyai asas.

Undang-undang menetapkan tempoh tertentu untuk memfailkan tuntutan, dan juri mendapati Musk telah melangkaui tempoh itu bagi semua dakwaan, termasuk pelanggaran amanah dan pengayaan tidak adil.

Hakim yang mengendalikan kes tersebut menerima keputusan juri dan menggugurkan semua tuntutan Musk.

OpenAI menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan besar.

Peguam syarikat berkenaan berkata saman Musk tidak berasaskan realiti dan dilihat sebagai usaha untuk menekan pesaing dalam industri AI.

Microsoft dalam kenyataan berasingan menyatakan fakta dan garis masa kes tersebut “telah lama jelas” serta mengalu-alukan keputusan mahkamah.

Tidak lama selepas keputusan diumumkan, Musk mengkritik keputusan itu di media sosial dan menyifatkannya sebagai “teknikaliti kalendar”.

Beliau turut berikrar untuk mengemukakan rayuan, sambil menegaskan bahawa mahkamah tidak menilai merit sebenar kes tersebut.

Bagaimanapun, pakar undang-undang menyatakan rayuan terhadap keputusan juri adalah sukar untuk dimenangi, terutama apabila ia melibatkan penentuan fakta berkaitan tempoh masa.

Kes ini dilihat sebagai kemuncak perselisihan antara Musk dan Altman yang bermula sejak Musk meninggalkan OpenAI.

Sejak itu, OpenAI berkembang pesat, khususnya selepas kejayaan ChatGPT, manakala Musk semakin lantang mengkritik hala tuju syarikat tersebut.

Dengan keputusan mahkamah ini, pertikaian antara kedua-dua tokoh utama industri teknologi itu dijangka berlarutan sekiranya proses rayuan diteruskan.
 

 

 

Must Watch Video