DUNIA
Myanmar tolak laporan PBB mengenai askar kanak-kanak, layanan buruk

Menurut laporan yang dikeluarkan pada Jun 2024, PBB mengesahkan 2,138 pelanggaran serius terhadap 1,762 kanak-kanak tahun lepas. - Reuters
PHNOM PENH: Myanmar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung perekrutan askar kanak-kanak dan layanan buruk terhadap kanak-kanak dalam konflik sivil yang sedang berlaku di negara itu.
Laporan Setiausaha Agung PBB mengenai Kanak-Kanak dan Konflik Bersenjata bagi 2024 menyatakan jumlah besar pelanggaran terhadap kanak-kanak yang dilakukan oleh semua kumpulan terlibat dalam perang itu adalah membimbangkan.
Menurut laporan yang dikeluarkan pada Jun 2024, PBB mengesahkan 2,138 pelanggaran serius terhadap 1,762 kanak-kanak tahun lepas dan 121 pelanggaran yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.
Selain itu, PBB turut menerima laporan mengenai kira-kira 1,200 pelanggaran serius yang masih menunggu pengesahan.Sebagai maklum balas terhadap dakwaan itu, Jawatankuasa Pencegahan Pelanggaran Serius Terhadap Kanak-Kanak dalam Konflik Bersenjata Myanmar menyatakan tuduhan yang dilemparkan terhadap negara itu adalah mengelirukan dan tidak benar.
"Myanmar dengan tegas menolak angka-angka yang diputarbelitkan dan tuduhan tidak berasas yang terkandung dalam laporan itu. Myanmar kekal komited melakukan usaha terbaik bagi melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan yang disiarkan media kerajaan The Global New Light of Myanmar pada Jumaat.
Myanmar menyeru PBB supaya menggunakan pendekatan yang seimbang, boleh dipercayai dan konstruktif ketika mengeluarkan laporan.
PBB mendakwa pelanggaran yang dilakukan oleh angkatan tentera dan militia termasuk penafian akses kemanusiaan, penculikan kanak-kanak untuk berperang dalam konflik serta serangan ke atas sekolah dan hospital.
Bagaimanapun, suruhanjaya Myanmar itu berkata sehingga Disember lepas, hanya 98 kes melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan.
Daripada jumlah itu, 93 kanak-kanak telah disahkan dan dibebaskan serta dikembalikan kepada penjaga atau ibu bapa mereka dengan sokongan kewangan, manakala 18 kes yang disyaki melibatkan kanak-kanak masih dalam siasatan.
Konflik etnik bersenjata melibatkan kumpulan yang berjuang untuk menentukan nasib sendiri telah berlarutan di beberapa kawasan di Myanmar selama beberapa dekad dan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 hanya memburukkan lagi keadaan.
PBB menganggarkan lebih tiga juta orang telah kehilangan tempat tinggal sejak pihak tentera merampas kuasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami