INTERNATIONAL
AS nafi dakwaan Hamas terima cadangan gencatan senjata di Gaza

Beberapa kanak-kanak Palestin dilihat meninjay kerosakan di sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan mangsa perpindahan, selepas ia terkena serangan udara oleh tentera Israel. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Isnin menolak dakwaan bahawa kumpulan Hamas telah bersetuju dengan cadangan gencatan senjata di Gaza yang dilaporkan melibatkan pembebasan 10 tebusan dalam dua kumpulan serta tempoh gencatan selama 70 hari.
Sebelum itu, seorang pegawai Palestin yang rapat dengan Hamas dilaporkan berkata, kumpulan itu telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Utusan Khas AS, Steve Witkoff, yang disampaikan melalui perantara.
Sumber Hamas turut memaklumkan kepada AFP bahawa kumpulan itu telah “bersetuju dengan cadangan baharu” oleh Amerika Syarikat yang diterima melalui saluran perantara.
Namun, laporan oleh portal Axios — yang turut disahkan jurucakap Witkoff kepada AFP — menyatakan bahawa Utusan Khas White House itu menafikan Hamas telah menerima cadangannya.“Utusan Khas White House, Steve Witkoff menolak dakwaan Hamas bahawa kumpulan itu telah bersetuju dengan cadangannya mengenai perjanjian tebusan dan gencatan senjata,” ciap wartawan Axios, Barak Ravid di platform X.
Beliau turut memetik kenyataan Witkoff yang menyifatkan maklum balas daripada Hamas sebagai “mengecewakan dan sama sekali tidak boleh diterima.”
Israel terus tingkatkan serangan di Gaza
Butiran awal cadangan perjanjian itu muncul ketika Israel memperhebatkan serangan di wilayah Gaza, dalam usaha yang dilihat sebagai tekanan terhadap rundingan yang sebelum ini gagal mencapai kata sepakat sejak berakhirnya gencatan dua bulan pada pertengahan Mac.
Menurut sumber Hamas, perjanjian yang dicadangkan termasuk “gencatan senjata selama 70 hari sebagai pertukaran kepada pembebasan 10 tebusan dalam dua peringkat, dan sepanjang tempoh itu, rundingan ke arah gencatan senjata kekal akan dimulakan dengan jaminan daripada pihak Amerika.”
Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar telah memainkan peranan sebagai perantara utama dalam siri rundingan gencatan sejak perang bermula.
Witkoff sebelum ini terlibat dalam rundingan yang menghasilkan gencatan terakhir, namun perjanjian itu gagal bertahan susulan perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak.
Israel menyambung kembali serangan pada 18 Mac, termasuk mengenakan sekatan penuh bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 2 Mac - tindakan yang menurut Israel bertujuan mendesak Hamas agar membuat konsesi.
Agensi PBB sejak itu memberi amaran bahawa sekatan tersebut telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih, bahan api dan ubat-ubatan yang kritikal, selain risiko kebuluran yang semakin hampir.
Serangan Israel terus memuncak, termasuk pada Isnin apabila beberapa individu dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan. Tentera Israel menyatakan sasaran mereka adalah militan.
Israel berikrar untuk terus menguasai Gaza dan berperang sehingga Hamas dimusnahkan atau dilucutkan senjata serta dibuang negeri, selain menggesa pembebasan baki 58 tebusan yang masih ditahan - satu pertiga daripadanya dipercayai masih hidup sejak serangan 7 Oktober 2023.
Israel sebelum ini menyekat sepenuhnya kemasukan makanan, ubat dan bahan api ke Gaza selama lebih dua bulan, sebelum membenarkan sedikit bantuan memasuki wilayah itu, di tengah-tengah tekanan meningkat daripada sekutu rapatnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Gaza Humanitarian Foundation memaklumkan, telah memulakan pengagihan bantuan makanan di wilayah tersebut dengan lebih banyak trak bantuan dijangka tiba pada Selasa.
Pertubuhan kemanusiaan yang disokong AS itu menjalankan misi berdasarkan rancangan yang diusahakan Israel, dan kini diketuai oleh John Acree sebagai pengarah eksekutif sementara selepas ketua terdahulu meletak jawatan kerana mendakwa kekurangan kebebasan dalam operasi.
Serangan Hamas pada Oktober 2023 menyaksikan sekitar 1,200 orang terbunuh - kebanyakannya orang awam - manakala 251 lagi diculik.
Serangan balas Israel pula setakat ini telah meragut sekitar 54,000 nyawa rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami