REKOD komunikasi radio antara pusat kawalan trafik udara dan pesawat penumpang Japan Airlines JAL516 menunjukkan mereka tidak berbincang untuk membatalkan pendaratan sebelum kapal terbang itu berlanggar dengan pesawat Pengawal Pantai Jepun di Lapangan Terbang Haneda Tokyo.

Kementerian Pengangkutan Jepun, yang mengeluarkan transkrip komunikasi berkenaan, berkata ia menandakan bahawa pengawal trafik udara tidak menyedari bahawa pesawat pengawal pantai telah memasuki landasan dalam kejadian pada Selasa itu, lapor NHK World.

Japan Airlines juga berkata, juruterbangnya memberitahu bahawa mereka tidak melihat pesawat pengawal pantai ketika kapal terbang itu menghampiri landasan dan bersedia untuk mendarat.

Ini menunjukkan bahawa kedua-dua menara kawalan dan juruterbang JAL tidak menyedari pesawat terbabit berada di landasan.

Tiada indikasi pesawat pengawal dibenar masuk ke landasan

Transkrip yang sama menunjukkan pusat kawalan trafik udara juga tidak memberi sebarang kebenaran kepada pesawat pengawal pantai untuk memasuki landasan.

Media tempatan turut melaporkan, pasukan penyiasat pengangkutan Jepun mula menyoal juruterbang jet JAL pada pagi Khamis berhubung kemalangan berkenaan.

Dalam kejadian itu, pesawat Japan Airlines JAL516 bertembung dengan pesawat Pengawal Pantai Jepun semasa mendarat di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo.

Kesemua 379 penumpang dan anak kapal pesawat Airbus A350 JAL516 berjaya dipindahkan dengan selamat dari pesawat, namun lima daripada enam anak kapal pesawat Pengawal Pantai Jepun terbunuh dalam nahas itu.

Lima yang terkorban ialah anggota Pengawal Pantai Yoshiki Ishida, 27; Wataru Tatewaki, 39; Nobuyuki Tahara, 41; Makoto Uno, 47; dan Shigeaki Kato, 56.

Juruterbang pesawat Pengawal Pantai Jepun terbabit, Genki Miyamoto, 39, sempat menyelamatkan diri namun mengalami kecederaan parah.