BEKASI: Angka korban nahas kereta api membabitkan tren komuter dan tren jarak jauh di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat meningkat kepada 16 orang selepas seorang mangsa terbaharu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, Rabu.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polda Metro Jaya, Budi Hermanto berkata, mangsa merupakan wanita berusia 25 tahun yang maut akibat kecederaan parah dialaminya dalam kejadian pada malam Isnin lalu.
Advertisement
Pihak berkuasa mengesahkan kesemua mangsa yang terkorban ialah wanita kerana rempuhan itu melibatkan gerabak terakhir tren komuter yang dikhaskan untuk penumpang wanita.
Selain korban jiwa, seramai 90 individu dilaporkan cedera, dengan 44 daripada mereka telah dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan.
Nahas itu berlaku apabila tren jarak jauh Argo Bromo Anggrek merempuh bahagian belakang tren komuter yang sedang berhenti di landasan.
Siasatan awal mendapati tren komuter berkenaan terpaksa berhenti selepas sebuah teksi dilaporkan terperangkap di lintasan kereta api berhampiran sebelum rempuhan berlaku.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang melawat mangsa di hospital pada Selasa mengarahkan siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau turut menegaskan keperluan menaik taraf sistem keselamatan di lintasan kereta api di seluruh negara bagi mengelakkan tragedi sama berulang.