INTERNATIONAL
Namibia memperingati genosid kolonial buat kali pertama

Pada awal abad ke-20, Namibia, di bawah pemerintahan kolonial Jerman, mengalami genosid pertama abad ini melalui satu siri tindakan sistematik dan kejam yang dilakukan oleh Jerman. - Foto X/African History & Culture
WINDHOEK: Namibia hari ini memperingati Genocide Remembrance Day buat kali pertama, menandakan langkah bersejarah dalam usaha negara itu untuk mengenang pembunuhan beramai-ramai Ovaherero dan Nama oleh penjajah Jerman antara 1904 hingga 1908.
Hari peringatan ini, yang akan disambut setiap tahun pada 28 Mei, dipilih kerana ia merupakan tarikh di mana Jerman mengumumkan penutupan kem tahanan selepas menerima kritikan antarabangsa pada tahun 1907.
Lebih 70,000 orang Afrika terbunuh dalam pembunuhan sistematik yang digelar sebagai "genosid yang dilupakan Jerman", dengan ramai mangsa mengalami eksperimen pseudo-saintifik dan penderaan di kem tahanan.
Kerajaan Namibia menyatakan bahawa peringatan ini adalah sebahagian daripada "perjalanan penyembuhan" negara, termasuk saat bertafakur dan nyalaan lilin di luar parlimen di Windhoek.Walaupun Jerman telah mengakui genosid ini pada 2021 dan menawarkan bantuan pembangunan sebanyak €1.1 bilion (RM5.3 bilion) selama 30 tahun, Namibia menolak tawaran itu kerana ia tidak termasuk permohonan maaf rasmi dan pembayaran pampasan.
Sebahagian aktivis Ovaherero dan Nama menyambut baik peringatan ini tetapi menegaskan bahawa keadilan masih jauh.
Mereka menggesa Jerman untuk memulangkan tanah nenek moyang mereka yang kini dimiliki oleh komuniti berbahasa Jerman.
Hari peringatan ini diharap dapat meningkatkan kesedaran global mengenai sejarah kelam penjajahan dan mempercepatkan usaha ke arah keadilan dan pemulihan bagi keturunan mangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami