DUNIA
NASA larang warga China sertai program angkasa, persaingan kuasa besar kian memuncak

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengambil langkah drastik dengan melarang warga China yang memiliki visa sah dari terlibat dalam program dan kemudahan penyelidikan agensi itu. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengambil langkah drastik dengan melarang warga China yang memiliki visa sah dari terlibat dalam program dan kemudahan penyelidikan agensi itu.
Bloomberg melaporkan, sekumpulan penyelidik dan pelajar warga China hanya mengetahui sekatan berkenaan pada 5 September lalu apabila akses mereka ke sistem serta fasiliti NASA ditarik balik tanpa notis awal.
NASA kemudian mengesahkan perkara itu dengan alasan sekatan berkenaan bertujuan “menjamin keselamatan kerja” termasuk menghadkan penggunaan fasiliti, bahan serta rangkaian milik agensi tersebut oleh warga China.
Tindakan itu sekali gus menambah jurang kerjasama saintifik antara Washington dan Beijing yang semakin meruncing berikutan kebimbangan keselamatan negara.China sebelum ini sudah pun diketepikan daripada penyertaan dalam Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas Washington melarang NASA berkongsi data dengan Beijing.
Langkah terbaharu NASA ini dilihat menambah ketegangan dalam perlumbaan teknologi antara dua kuasa besar dunia itu, terutama dalam sektor sains dan angkasa lepas.
Beberapa tahun kebelakangan ini, pelajar China khususnya dalam bidang sains dan teknologi juga berdepan kesukaran mendapatkan visa, malah ada yang disekat memasuki Amerika Syarikat biarpun visa sudah diperoleh.
Lebih memburukkan keadaan, beberapa kes pengintipan membabitkan warga China turut dilaporkan di Amerika, menyebabkan saintis negara itu sering berada di bawah pemantauan pihak berkuasa.
Jurucakap NASA, Bethany Stevens mengesahkan tindakan dalaman itu termasuklah mengehadkan akses fizikal dan siber warga China ke fasiliti agensi berkenaan.
Dalam sidang media berasingan, Pemangku Pentadbir NASA, Sean Duffy menegaskan, Amerika kini berada dalam “perlumbaan angkasa lepas kedua” dengan China.
“China mahu kembali ke bulan lebih awal daripada kita. Itu tidak akan berlaku,” tegasnya.
China sebelum ini menolak kebimbangan Amerika sebagai “tidak perlu”, malah menyifatkan penerokaan angkasa sebagai misi kolektif untuk kemanusiaan sejagat.
Namun, di Washington, kebimbangan mengenai aspirasi Beijing semakin jelas.
AS melalui program Artemis menyasarkan pendaratan pada 2027, namun berdepan kelewatan dan kos melambung.
Sebaliknya, China menyasarkan pendaratan angkasawan atau 'taikonauts' menjelang 2030 dan setakat ini berjaya mengikut jadual.
Dalam sesi perbicaraan Senat minggu lalu, Senator Republikan, Ted Cruz menegaskan, kegagalan Amerika menguasai teknologi angkasa akan memberi risiko besar kepada keselamatan negara.
Persaingan itu bukan sekadar misi ke bulan, sebaliknya juga membabitkan siapa yang bakal menguasai sumber berharga di satelit semula jadi bumi itu.
Bulan diketahui kaya dengan pelbagai mineral termasuk nadir bumi, logam seperti besi dan titanium, serta helium yang penting dalam penghasilan superkonduktor hingga kepada peralatan perubatan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami