LOS ANGELES: Pelakon veteran Hollywood, James Handy, dilaporkan meninggal dunia akibat ditikam di kediamannya di Tarzana, di sini, dalam satu insiden pada pagi Rabu.
Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) mengesahkan pelakon berusia 81 tahun itu dibunuh oleh anak lelaki kepada teman wanitanya yang tinggal bersama di kediaman berkenaan.
Polis memaklumkan menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki sekitar jam 9.30 pagi (waktu tempatan) sebelum anggota tiba di lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan luka tikaman di bahagian dada.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Suspek, Michael Gledhill, 44, ditahan di lokasi kejadian selepas menyerah diri kepada polis dan kini direman atas pertuduhan membunuh dengan ikat jamin ditetapkan sebanyak AS$2 juta (kira-kira RM8 juta).
Polis berkata kejadian itu diklasifikasikan sebagai insiden terpencil dan tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan awam.
Handy memulakan kerjaya lakonannya sejak 1970-an, termasuk penampilan dalam filem Jumanji (1995) serta Top Gun: Maverick (2022).
Beliau turut membintangi pelbagai siri televisyen popular seperti NYPD Blue, Law & Order dan NCIS: Los Angeles.