NASA sahkan objek pertama tanpa bintang dan didominasi jirim gelap di alam semesta

NASA mengenal pasti apa yang disifatkan sebagai contoh pertama yang disahkan di alam semesta bagi objek kaya gas tanpa bintang yang didominasi jirim gelap, sekali gus memberi pencerahan baharu tentang bagaimana galaksi terbentuk. - Foto Facebook NASA
ISTANBUL: Saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengenal pasti apa yang disifatkan sebagai contoh pertama yang disahkan di alam semesta bagi objek kaya gas tanpa bintang yang didominasi jirim gelap, sekali gus memberi pencerahan baharu tentang bagaimana galaksi terbentuk, lapor Anadolu Ajansi.
Penemuan itu, yang diperincikan pada Isnin di laman web rasmi NASA, adalah berdasarkan pemerhatian menggunakan Teleskop Angkasa Hubble dan tertumpu kepada satu objek yang dinamakan "Cloud-9", yang dikesan berhampiran galaksi spiral Messier 94.
Penyelidik utama Alejandro Benitez-Llambay dari Universiti Milano-Bicocca berkata, penemuan itu menunjukkan kewujudan sebuah "galaksi gagal", sambil menjelaskan bahawa ketiadaan bintang merupakan bukti utama, menurut NASA.
"Dalam sains, kita biasanya belajar lebih banyak daripada kegagalan berbanding kejayaan," katanya.
Ahli pasukan Persatuan Universiti untuk Penyelidikan Astronomi/Institut Sains Teleskop Angkasa (AURA/STScI), Andrew Fox berkata, awan itu menawarkan gambaran ke arah alam semesta gelap, sambil menyatakan bahawa objek sedemikian memberikan akses pemerhatian yang jarang berlaku terhadap jirim gelap, yang tidak memancarkan cahaya.
Keputusan kajian itu diterbitkan dalam jurnal The Astrophysical Journal Letters dan dibentangkan pada Isnin semasa mesyuarat ke-247 Persatuan Astronomi Amerika di Phoenix.
Pengimejan susulan menggunakan Kamera Lanjutan untuk Tinjauan (Advanced Camera for Surveys) Hubble mengesahkan bahawa Cloud-9 tidak mengandungi sebarang bintang, satu kesimpulan yang ditekankan oleh ketua penulis STScI, Gagandeep Anand.
"Dengan Kamera Lanjutan untuk Tinjauan Hubble, kami dapat memastikan bahawa benar-benar tiada apa-apa di situ," katanya.
Menurut NASA, para penyelidik berkata penemuan itu menyokong teori lama mengenai 'galaksi gagal' primordium serta membuka laluan baharu untuk mengkaji komponen gelap alam semesta awal.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


