ISTANBUL: Iran pada Selasa menafikan laporan yang ia melancarkan serangan ketenteraan ke atas Oman, sambil menyifatkan negara Teluk itu sebagai “sahabat dan jiran.”
Anadolu Ajansı melaporkan, Pegawai Turus Angkatan Bersenjata Iran menyatakan tiada serangan ketenteraan berlaku di wilayah Oman, menolak sebarang laporan yang mencadangkan sebaliknya, menurut stesen media kerajaan, Press TV.
Advertisement
Penafian itu susulan laporan Agensi Berita Oman pada Selasa bahawa dua dron berjaya dipintas di Wilayah Pentadbiran Dhofar di selatan Oman, manakala sebuah lagi terhempas berhampiran Pelabuhan Salalah.
Menurut sumber keselamatan, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan dalam insiden itu.
Ketegangan meningkat di seluruh rantau apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan berskala besar terhadap Iran pada Sabtu, yang dilaporkan mengorbankan hampir 800 orang termasuk Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset Amerika Syarikat.
-- BERNAMA-ANADOLU