WASHINGTON: Susulan kejayaan misi Artemis II yang selamat mendarat di Lautan Pasifik pada Jumaat, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) kini memberi tumpuan kepada peranan syarikat swasta termasuk SpaceX dan Blue Origin bagi menjayakan fasa seterusnya pendaratan manusia di Bulan.
Misi Artemis II yang membawa empat angkasawan — Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch dan Jeremy Hansen — melengkapkan penerbangan mengelilingi Bulan selama 10 hari, sekali gus menjadi antara misi berawak paling jauh pernah dicapai manusia dari Bumi.
Advertisement
Dalam satu sidang media di Texas, pegawai kanan NASA, Lori Glaze menggesa penglibatan menyeluruh sektor industri bagi memastikan sasaran pendaratan kru ke permukaan Bulan dapat dicapai menjelang 2028.
Berikut adalah antara fokus utama hala tuju program lunar NASA selepas Artemis II:
Pendaratan 2028: NASA meletakkan kebergantungan tinggi kepada syarikat swasta termasuk SpaceX dan Blue Origin untuk membangunkan sistem pendaratan komersial yang mampu membawa angkasawan dari orbit Bulan ke permukaannya.
Perbezaan dengan Apollo: Berbeza dengan program Apollo antara 1969 hingga 1972 yang menggunakan satu roket utama, Saturn V, program Artemis menggunakan pendekatan berperingkat melibatkan kapsul Orion untuk pengangkutan dari Bumi serta sistem pendaratan lunar yang dibangunkan pihak industri.
Saiz dan tempoh misi: Sistem pendaratan baharu dianggarkan dua hingga tujuh kali ganda lebih besar berbanding modul pendaratan Apollo, dengan keupayaan menyokong penginapan angkasawan selama beberapa minggu bagi membolehkan pembinaan kehadiran jangka panjang di Bulan.
Cabaran teknikal: SpaceX dan Blue Origin perlu menguasai teknologi pengisian bahan api di angkasa, satu manuver kompleks yang masih dalam peringkat pembangunan, bagi membolehkan kenderaan angkasa bersaiz besar beroperasi ke orbit lunar.
Dalam perkembangan berkaitan, NASA turut menstruktur semula pelaksanaan program Artemis, dengan misi Artemis III kini dijadualkan sebagai ujian pertemuan dan dok sistem di orbit rendah Bumi pada pertengahan 2027.
Misi pendaratan manusia ke Bulan pula kini disasarkan menerusi Artemis IV pada awal 2028, dengan tumpuan ke kawasan kutub selatan Bulan.
Langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan kru dan keberkesanan sistem pendaratan, selain mengekalkan kedudukan Amerika Syarikat dalam persaingan angkasa lepas global, khususnya dengan China yang menyasarkan pendaratan manusia di Bulan menjelang 2030.