ISTANBUL: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Sabtu memaklumkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan Washington untuk memahami keputusan Amerika Syarikat (AS) mengundurkan tenteranya dari Jerman, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kami sedang bekerjasama dengan AS untuk memahami butiran keputusan mereka mengenai kedudukan penempatan ketenteraan di Jerman,” kata jurucakapnya Allison Hart menerusi platform X.
Advertisement
Beliau berkata pelarasan itu “menekankan keperluan Eropah untuk terus meningkatkan pelaburan dalam pertahanan dan memikul tanggungjawab yang lebih besar” terhadap keselamatan bersama.
“Kami tetap yakin dengan keupayaan kami untuk memastikan keupayaan pencegahan dan pertahanan ketika peralihan ke arah Eropah yang lebih kuat dalam NATO yang lebih kukuh ini berterusan,” tambah Hart.
Ketua pertahanan AS telah mengarahkan pengunduran kira-kira 5,000 anggota tentera dari Jerman, menurut jurucakap Pentagon pada Jumaat.
Awal minggu ini, Presiden Donald Trump berkata AS sedang menilai kemungkinan pengurangan kehadiran tenteranya di Jerman susulan perselisihan dalam NATO berhubung perangnya terhadap Iran.
Kenyataan itu dibuat selepas Canselor Jerman Friedrich Merz pada Isnin mengkritik AS kerana tidak mempunyai strategi keluar bagi perang Iran, sambil berkata rakyat Amerika “diperlekeh” oleh rejim Iran dalam rundingan.
-- BERNAMA-ANADOLU