Negara anggota ASEAN berbaik dengan China kerana tiada pilihan, digasak dasar Trump - Penganalisis

ASEAN dekati China kerana tekanan, tapi ramai pemimpin lebih minat AS demi imbangan ekonomi dan geopolitik. - Asean.org
KUALA LUMPUR: Kecenderungan negara-negara anggota ASEAN merapatkan hubungan dengan China hanyalah berdasarkan pertimbangan mendesak untuk mengalihkan tekanan perdagangan akibat dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ringkasan AI
- Negara-negara ASEAN cenderung merapatkan hubungan dengan China bukan kerana pilihan strategik, tetapi sebagai reaksi terhadap tekanan perdagangan akibat dasar Presiden AS, Donald Trump.
- Walaupun kelihatan mendekati China, kebanyakan pemimpin ASEAN sebenarnya lebih berminat untuk mengukuhkan hubungan dengan AS, namun tiada kesatuan politik dalam kalangan ASEAN terhadap mana-mana kuasa besar.
- Kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN dilihat penting untuk mengimbangi pengaruh ekonomi China, memandangkan keperluan ekonomi berbeza setiap negara ASEAN terhadap kedua-dua kuasa besar.
“Hakikatnya, tidak ada kesatuan politik ASEAN terhadap mana-mana kuasa besar; AS atau China. Oleh yang demikian, tidak terlambat dan AS ada waktu untuk datang ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bagi mengekalkan pengaruhnya di sini.
"Pada pandangan saya, bukan negara-negara ASEAN berpaksi kepada China. Sebaliknya mereka tidak ada pilihan. Apabila mereka tidak ada pilihan, ramai dalam kalangan pemimpin ASEAN yang lebih berminat untuk merapatkan hubungan dengan AS berbanding China,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam temu bual sama, Pengerusi Emeritus Dewan Perniagaan Digital Malaysia (MDCC), Dr. Chris Daniel Wong pula berpandangan, kehadiran Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN kali ini adalah untuk mengimbangi pengaruh ekonomi di rantau ini.
Beliau menggambarkan senario ekonomi domestik negara-negara anggota ASEAN yang memerlukan imbuhan tertentu untuk menjaga kepentingan ekonomi masing-masing, dan kedua-dua kuasa besar; China dan AS, mempunyai tawaran tersendiri.
“Kehadiran Trump bukan sahaja perlu dilihat daripada segi keselamatan dan politik, bahkan juga dari segi perdagangan.
“Bagi negara lain seperti Kemboja sangat memerlukan perdagangan dari China memandangkan China banyak bina kilang dalam sektor pembuatan.
“Tetapi bagi Malaysia, AS telah lama bertapak di Pulau Pinang. Maknanya, ada negara perlukan China, manakala ada pula negara ASEAN lain yang perlukan AS. Tetapi sekarang, kita perlukan AS kerana nilai perdagangan positif tersebut,” ujarnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober melibatkan ketua negara ASEAN serta pemimpin negara rakan dialog.
Selain pemimpin ASEAN, lebih 20 pemimpin dunia dijadual menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Trump, dan ini merupakan penglibatkan kedua Trump dalam Sidang Kemuncak ASEAN serta kehadiran pemimpin utama AS ketiga ke dalam negara selepas Barack Obama pada 2014 dan Lyndon Johnson pada 1966.
Turut dijadualkan hadir, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Kesatuan Eropah Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.
Filipina akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 2026.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami