Skip to main content

Dunia

Negara Eropah pantau kes hantavirus dikaitkan dengan kapal persiaran, WHO gesa orang ramai bertenang

Health workers in protective gear evacuate patients from the MV Hondius cruise ship at a port in Praia, Cape Verde, Wednesday, May 6, 2026. (AP Photo/Misper Apawu)
Petugas kesihatan memindahkan pesakit dari kapal persiaran MV Hondius di sebuah pelabuhan di Praia, Cape Verde, 6 Mei 2026. (Foto AP)

BRUSSELS: Negara-negara Eropah pada Khamis meningkatkan langkah pemantauan dan pengasingan selepas wabak hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran berbendera Belanda MV Hondius, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa orang ramai bertenang dan menyatakan risiko penularan wabak adalah rendah, lapor Anadolu Ajansi.

Wabak membabitkan strain Andes hantavirus itu setakat ini menyebabkan lima kes disahkan, tiga jangkitan disyaki dan tiga kematian dalam kalangan penumpang yang dikaitkan dengan pelayaran berkenaan, kata Pengarah Operasi Amaran dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan WHO, Abdirahman Mahamud kepada pemberita di Geneva.

“Ia berlaku dalam persekitaran khusus dan terhad, dengan orang ramai berinteraksi secara rapat untuk tempoh lama.

“Berdasarkan pengalaman negara anggota kami dan tindakan yang telah diambil, kami tidak menjangkakan berlaku wabak besar... Kami percaya ia tidak akan membawa kepada rantaian penularan seterusnya,” kata beliau.

MV Hondius, yang membawa kira-kira 150 penumpang dan kru dari 23 negara, berlepas dari Argentina dan merentasi Lautan Atlantik sebelum melaporkan kluster penyakit pernafasan ketika belayar di luar pesisir Cape Verde.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata kes pertama yang disahkan telah melakukan perjalanan melalui Argentina, Chile dan Uruguay sebelum menaiki kapal itu, termasuk melawat kawasan pemerhatian burung yang didiami rodensia yang diketahui membawa virus Andes.

WHO telah memaklumkan kepada 12 negara yang rakyatnya turun lebih awal di Saint Helena iaitu Kanada, Denmark, Jerman, Belanda, New Zealand, Saint Kitts dan Nevis, Singapura, Sweden, Switzerland, Turkiye, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Kapal itu kini belayar menuju ke Kepulauan Canary, dengan WHO menyatakan risiko kesihatan awam secara keseluruhan serta risiko terhadap kepulauan itu kekal rendah.

Sementara itu di Jerman, seorang wanita berusia 65 tahun yang mungkin terdedah kepada virus itu di atas kapal berkenaan dipindahkan ke Hospital Universiti Dusseldorf di bawah langkah kawalan jangkitan yang ketat bagi menjalani ujian sebagai langkah berjaga-jaga.

“Pesakit berada dalam keadaan stabil,” menurut hospital itu, sambil menambah tiada bukti jangkitan aktif setakat ini.

Pihak berkuasa Belanda berkata seorang pramugari dari Haarlem dimasukkan ke Amsterdam UMC selepas mempunyai kontak dengan seorang penumpang Belanda yang meninggal dunia sehari selepas penerbangan itu, menurut laporan penyiar NOS.

Belanda turut mengesahkan bahawa dua penumpang yang dipindahkan dan dirawat di Leiden serta Nijmegen disahkan positif hantavirus selepas dipindahkan dari kapal persiaran Belanda MV Hondius.

Kementerian Kesihatan Perancis memaklumkan lima rakyat Perancis masih dikuarantin di atas kapal itu di bawah pengawasan perubatan, ketika pihak berkuasa menyelaras pelan penghantaran pulang di peringkat Eropah.

Perancis juga memantau lapan rakyatnya yang dikenal pasti sebagai kontak kepada satu kes disahkan semasa penerbangan antara Saint Helena dan Johannesburg.

Seorang daripada mereka mengalami gejala ringan dan menjalani ujian diagnostik di bawah protokol pengasingan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video