DUNIA
Nepal tarik balik larangan platform media sosial selepas protes ragut 19 nyawa

Kerajaan Nepal menarik balik larangan terhadap media sosial selepas protes besar-besaran yang menyebabkan sekurang-kurangnya 19 kematian.
-Gambar fail/Reuters
KATHMANDU: Kerajaan Nepal menarik balik larangan terhadap platform media sosial pada Selasa, sehari selepas protes yang mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang, lapor Kyodo News.
Ringkasan AI
- Kerajaan Nepal menarik balik larangan terhadap media sosial selepas protes besar-besaran yang menyebabkan sekurang-kurangnya 19 kematian.
- Larangan tersebut berpunca daripada kegagalan platform seperti Facebook, X dan YouTube untuk mendaftar secara rasmi di negara itu, mencetuskan bantahan terhadap kawalan kerajaan.
- Rang undang-undang baharu yang dicadangkan dikritik sebagai cubaan mengekang kebebasan bersuara, dengan protes digelar sebagai "protes Generasi Z".
Menteri Dalam Negeri Ramesh Lekhak turut meletakkan jawatan lewat Isnin pada mesyuarat Kabinet tergempar yang dipengerusikan Perdana Menteri Khadga Prasad Oli.
Protes besar-besaran melanda kawasan sekitar bangunan Parlimen yang dikepung puluhan ribu orang awam.
Kerajaan mendakwa syarikat berkenaan gagal mendaftar dan tunduk kepada kawalan kerajaan.
Insiden tembakan berlaku ketika kerajaan berusaha melaksanakan rang undang-undang baharu untuk memastikan platform media sosial "diuruskan dengan baik, bertanggungjawab dan berakauntabiliti."
Cadangan itu dikritik hebat kerana dilihat sebagai alat penapisan dan menghukum penentang kerajaan yang menyuarakan bantahan dalam talian.
Menurut kerajaan, lebih dua dozen rangkaian media sosial di Nepal berulang kali diberi notis supaya mendaftar secara rasmi di negara itu. Platform yang gagal mendaftar telah disekat sejak minggu lalu.
Google, pemilik YouTube, dan Meta, syarikat induk Facebook, Instagram dan WhatsApp, tidak memberi sebarang respon kepada permintaan ulasan daripada Associated Press. Platform X milik Elon Musk juga tidak memberikan sebarang komen.
Bagaimanapun, aplikasi perkongsian video TikTok, Viber dan tiga lagi platform telah berdaftar dan beroperasi tanpa gangguan.
Kerajaan turut mengenakan perintah berkurung di sekitar bangunan Parlimen, sekretariat kerajaan, rumah presiden serta beberapa kawasan utama di Kathmandu dan dua lagi bandar di Nepal.
Sementara itu, tujuh mayat dan puluhan mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Trauma Nasional.
"Ramai dilaporkan dalam keadaan kritikal dengan kesan tembakan di kepala dan dada," kata Dr. Badri Risa. Keluarga mangsa menunggu dengan penuh cemas di luar hospital manakala orang ramai berbaris untuk menderma darah.
"Batalkan larangan media sosial. Hentikan rasuah, bukan media sosial," laung orang ramai di luar Parlimen sambil mengibarkan bendera kebangsaan merah biru.
Protes Isnin itu digelar sebagai "protes Generasi Z," merujuk kepada golongan yang lahir antara 1995 hingga 2010.
Rang undang-undang baharu itu turut meminta syarikat melantik pejabat perhubungan atau wakil rasmi di negara itu.
Kumpulan hak asasi menganggap langkah berkenaan sebagai usaha kerajaan mengekang kebebasan bersuara dan hak asasi.
Nepal sebelum ini mengharamkan TikTok pada 2023 kerana didakwa menggugat "perpaduan sosial, keharmonian dan menyebarkan bahan tidak senonoh."
Larangan itu ditarik balik tahun lalu selepas pihak eksekutif TikTok berjanji mematuhi undang-undang tempatan, termasuk larangan laman lucah yang dikuatkuasakan sejak 2018.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami