Netanyahu berikrar terus tekan Hamas, tuntut pemulangan baki tebusan yang terkorban

Netanyahu menegaskan, beliau “bertekad” untuk mendapatkan semula mayat tebusan yang masih berada di Gaza, sambil berikrar untuk meneruskan perjuangan menentang keganasan dengan “kekuatan penuh.” - Gambar fail Reuters
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, beliau “bertekad” untuk mendapatkan semula mayat tebusan yang masih berada di Gaza, sambil berikrar untuk meneruskan perjuangan menentang keganasan dengan “kekuatan penuh.”
Kenyataan itu dibuat ketika Netanyahu berucap pada upacara memperingati mangsa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, hanya beberapa jam selepas kumpulan itu menyerahkan dua lagi mayat tebusan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Bagaimanapun, Hamas memaklumkan masih tidak dapat mengakses baki 19 lagi mayat.
Langkah itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Israel yang menuduh Hamas gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata yang dimeterai minggu lalu - namun Amerika Syarikat (AS) menafikan ia merupakan pelanggaran terhadap perjanjian tersebut.Dalam majlis di Tanah Perkuburan Nasional Gunung Herzl, Netanyahu menegaskan komitmen kerajaannya untuk membawa pulang semua tebusan yang terkorban, sama ada warga Israel mahupun warga asing.
Netanyahu turut mengulangi pendirian bahawa Israel bersedia melancarkan semula operasi ketenteraan jika diserang.
Tebusan dan tekanan politik
Menurut kerajaan Israel, dua mayat yang diserahkan pada Rabu malam dikenal pasti sebagai Inbar Hayman dan Sarjan Mejar Muhammad al-Atarash.
Kedua-duanya diserahkan oleh anggota Hamas bertopeng di Bandar Gaza, menjadikan jumlah mayat tebusan yang dikembalikan sejak Isnin meningkat kepada sembilan daripada 28.
Kesemua 20 tebusan yang masih hidup telah dibebaskan Isnin lalu sebagai pertukaran kepada pembebasan 250 tahanan Palestin di penjara Israel serta 1,718 tahanan dari Gaza.
Sayap tentera Hamas dalam kenyataannya pada Rabu berkata, mereka akan meneruskan usaha mencari baki mayat, namun memerlukan peralatan khas dan usaha besar untuk mengesan kesemuanya.
Israel pula memberi amaran akan mengehadkan kemasukan bantuan ke Gaza sekiranya Hamas gagal mempercepatkan proses itu.
Forum Keluarga Tebusan dan Individu Hilang di Israel menggesa kerajaan Netanyahu “segera menggantung pelaksanaan” perjanjian gencatan senjata sehingga kesemua 19 mayat dikembalikan.
Sementara itu, dua penasihat kanan Presiden AS, Donald Trump memaklumkan, Washington masih meneruskan persiapan untuk fasa seterusnya dalam pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
Menurut mereka, kerajaan AS tidak melihat kelewatan Hamas menyerahkan baki mayat sebagai satu pelanggaran perjanjian dan percaya kumpulan itu bertindak “dengan niat baik” selepas berkongsi maklumat dengan pihak pengantara.
Serangan dan situasi di Gaza
Serangan Israel terhadap Gaza masih berterusan sejak serangan 7 Oktober tahun lalu yang meragut kira-kira 1,200 nyawa di selatan Israel dan menyebabkan 251 individu dijadikan tebusan.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sekurang-kurangnya 67,967 orang terbunuh akibat serangan balas Israel sejak itu — angka yang turut diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai boleh dipercayai.
Hamas sebelum ini mengadu kepada pihak pengantara bahawa lebih 20 individu terbunuh akibat tembakan tentera Israel di Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Jumaat lalu.
Tentera Israel bagaimanapun mendakwa mereka hanya melepaskan tembakan terhadap ancaman terhadap anggota mereka.
Dalam perkembangan lain, kerja-kerja mengenal pasti mayat rakyat Palestin yang dipulangkan oleh Israel juga sedang dijalankan.
Sebanyak 30 mayat lagi diserahkan pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan yang dipulangkan kini 120.
Terdapat laporan bahawa lintasan Rafah di sempadan Mesir mungkin dibuka semula tidak lama lagi selepas ditutup sejak Mei 2024 apabila kawasan itu dikuasai tentera Israel.
Namun, menurut pegawai badan tentera Israel, Cogat, tarikh pembukaan rasmi lintasan itu “akan diumumkan kemudian” selepas persiapan bersama pihak Mesir diselesaikan.
Pegawai sama turut menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan tidak akan disalurkan melalui Rafah, sebaliknya akan terus dihantar ke Gaza melalui lintasan Kerem Shalom dan beberapa lintasan lain di bawah kawalan keselamatan Israel. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami