Skip to main content

Dunia

Netanyahu sengaja panjangkan konflik Lubnan demi kelangsungan politik — Bekas diplomat

51707958906_TBBenjaminNetanyahu.jpg
Pinkas berpandangan Netanyahu (foto) memerlukan keadaan konflik berterusan bagi mengekalkan kedudukan politiknya menjelang pilihan raya akan datang. -Gambar fail

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, didakwa sengaja memanjangkan konflik ketenteraan di Lubnan demi kepentingan politik domestiknya.

Menurut bekas diplomat Israel, Alon Pinkas, langkah itu bukan berasaskan pertimbangan strategik semata-mata, sebaliknya bertujuan mengalih perhatian daripada kegagalan keselamatan pada 7 Oktober 2023.

Beliau berpandangan Netanyahu memerlukan keadaan konflik berterusan bagi mengekalkan kedudukan politiknya menjelang pilihan raya akan datang.

“Netanyahu memerlukan keadaan peperangan yang berterusan demi kelangsungan politiknya serta naratif yang cuba dibentuk bagi memulihkan imejnya.

“Beliau memerlukan barisan hadapan yang aktif dan suasana perang dalam kalangan masyarakat awam,” katanya dalam temu bual bersama Al Jazeera.

Menurut Pinkas, situasi di Lubnan kini dilihat sebagai antara medan konflik yang masih aktif dan berpotensi dieksploitasi dari sudut politik.

Beliau turut berpendapat pilihan untuk memperluaskan konflik di lokasi lain semakin terhad berikutan perkembangan geopolitik semasa, sekali gus menjadikan Lubnan sebagai fokus utama.

Mengulas peranan Amerika Syarikat (AS), Pinkas berkata Washington sebenarnya mempunyai pengaruh besar untuk mengekang konflik sekiranya mahu berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau menganggap pendekatan semasa hanya menangguhkan rundingan tanpa penyelesaian menyeluruh.

Pinkas juga mempersoalkan dakwaan mengenai kemajuan rundingan damai melibatkan Hezbollah, dengan menyatakan keadaan di lapangan menunjukkan kumpulan itu masih belum bersedia untuk berundur.

“Saya tidak melihat mana-mana pihak benar-benar mampu menghentikan kitaran konflik ini ketika ini, dan itulah sebabnya keadaan kekal tidak menentu,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika operasi ketenteraan Israel di selatan Lubnan dilaporkan berterusan, meskipun usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan masih dijalankan.

 

Must Watch Video

Advertisement