INTERNATIONAL
Netanyahu tuduh Perancis, Britain dan Kanada 'kuatkan' Hamas

Buat kesekian kalinya, Netanyahu menegaskan, kewujudan negara Palestin akan mengancam keselamatan Israel. - Gambar fail
JERUSALEM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuduh pemimpin Perancis, Britain dan Kanada cuba membantu kumpulan pejuang Palestin, Hamas selepas ketiga-tiga negara itu memberi amaran akan mengambil "tindakan konkrit" sekiranya Israel tidak menghentikan serangan terbaharunya di Gaza.
Kenyataan keras Netanyahu itu selari dengan pandangan Menteri Luar Israel, Gideon Saar, yang sebelum ini turut menyelar tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Tel Aviv berhubung perang di Gaza.
“Pemimpin-pemimpin ini berada di pihak yang salah dalam kemanusiaan dan sejarah,” kata Netanyahu, sambil menuduh mereka menyokong "pembunuh beramai-ramai, perogol, pembunuh bayi dan penculik" – merujuk kepada serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023.
Imej kemusnahan dan kebuluran di Gaza yang terus tersebar ke seluruh dunia telah mencetuskan gelombang protes global, menjadikan Israel semakin sukar mengubah persepsi antarabangsa walaupun selepas serangan berdarah oleh Hamas.Israel turut bimbang dengan seruan beberapa negara Eropah termasuk Perancis untuk mengiktiraf negara Palestin, menyusuli langkah Sepanyol dan Ireland dalam mendukung penyelesaian dua negara.
Buat kesekian kalinya, Netanyahu menegaskan, kewujudan negara Palestin akan mengancam keselamatan Israel.
Beliau turut merujuk insiden pembunuhan dua kakitangan kedutaan Israel di Washington baru-baru ini oleh seorang lelaki yang didakwa melaungkan “Bebaskan Palestin”, sebagai bukti ancaman tersebut.
“Lafaz sama turut kedengaran semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023,” katanya menerusi kenyataan di platform X.
“Mereka tidak mahu negara Palestin. Mereka mahu menghancurkan negara Yahudi,” tegas beliau sambil menyatakan rasa hairan terhadap kegagalan pemimpin Perancis, Britain dan Kanada memahami perkara tersebut.
Netanyahu turut mendakwa, Hamas telah mengucapkan terima kasih kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan wakil Kanada, Mark Carney atas desakan mereka agar perang dihentikan – walaupun kenyataan pemimpin-pemimpin tersebut hanya menyeru agar serangan terbaharu dihentikan dan sekatan bantuan kemanusiaan dilonggarkan.
Hamas mengalu-alukan kenyataan itu, namun Netanyahu tidak mengemukakan sebarang bukti berlakunya hubungan langsung antara kumpulan tersebut dan ketiga-tiga negara terbabit.
“Dengan mengeluarkan desakan tersebut – lengkap dengan ancaman sekatan ke atas Israel, bukan ke atas Hamas – ketiga-tiga pemimpin ini seolah-olah mahu Hamas terus berkuasa,” kata Netanyahu.
“Mereka memberi harapan kepada Hamas untuk menubuhkan sebuah lagi negara Palestin yang akan digunakan untuk terus mengancam Israel.”
Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot menegaskan, komitmen negaranya terhadap keselamatan Israel sekali gus menolak dakwaan Netanyahu sebagai “tidak berasas dan fitnah”.
Menteri Pertahanan Britain, Luke Pollard pula menegaskan sokongan London terhadap hak Israel mempertahankan diri, tetapi turut menekankan keperluan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta memastikan bantuan sampai ke Gaza. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami