New Zealand akan melanjutkan perintah berkurung selama seminggu sebagai usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang melanda negara itu.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern berkata, langkah itu bagi memastikan tiada jangkitan baharu virus itu selain memberi laluan kepada aktiviti ekonomi secara berperingkat.

Kata Ardern, pihaknya terus komited dalam melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan negaranya bebas daripada virus berkenaan.

"Menerusi perintah itu, setiap orang diwajibkan untuk memakai pelitup muka ketika berada dalam pengangkutan awam selain berada di tempat awam yang melebihi 10 orang di Auckland dan 100 orang di wilayah lain," katanya yang dipetik laporan AP.

Ardern berkata, jika semua pihak memakai pelitup muka, kerajaan berhasrat untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penjarakan fizikal dalam pengangkutan awam.

Isnin lalu, pihak berkuasa kesihatan mengesan satu kes jangkitan baharu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 96 kes.