KURANG lebih setahun penulis telah berhijrah ke Minamiuonum-shi, Niigata Prefecture yang terletak 250 kilometer daripada barat daya bandar raya Tokyo, Jepun.

Penghijrahan penulis ini bagi menimba ilmu di negara asing pastinya memiliki cabaran dan memorinya tersendiri. Sudah tentunya ada pahit dan manis mengharungi pandemik ini berjauhan daripada ibu bapa, sanak saudara, sahabat dan rakan taulan di tanah air.

Seperti juga di Malaysia, bermula pada Mac 2020, COVID-19 atau di sini dipanggil shingata korona uirusu kansenshō telah tiba di antaranya di persempadanan negara ini di atas Kapal Mewah Diamond Princess di Pelabuhan Yokohama.

Pandemik ini yang telah memberikan kesan di seluruh dunia telah merubah gaya hidup dan kehidupan seharian warga Jepun dan rakyat asing di sini.

Rakyat Jepun sinonim dengan pematuhan operasi prodesur standard (SOP), berdisiplin tinggi, patuh pada undang-undang dan peraturan maka pada peringkat awal shingata korona ini dapat dikawal dengan baik.

Pemakaian pelitup separuh muka, penjarakan fizikal dan pensanitasi tangan merupakan tabiat biasa bagi orang Jepun di kala musim flu pada musim sejuk dan juga salji tebal.

Kerajaan di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri Shinzo Abe juga telah memberikan keyakinan kepada rakyat cara dan bagaimana kerajaan Persekutuan mengawal selia daripada merebaknya pandemik shingata korona ini.

Pelbagai insentif dan bantuan seperti elaun bantuan pandemik sebanyak ¥100,000 (RM3,800) seorang kepada rakyat Jepun termasuk warga asing dengan taraf residensi yang sah layak diberikan bantuan.

Termasuk juga dengan baucer seperti Go To Travel dan Go To Eat bagi menggalakkan serta merancakkan pelacongan domestik agar ekonomi sentiasa bergerak dan tidak stagnant.

Pada asalnya, rakyat Jepun menyambut baik program dan elaun bantuan ini, dan sokongan kepada Shinzo Abe pada tahap yang boleh dibanggakan oleh sebuah pentadbiran kerajaan di kala pandemik.

Malah penulis yang mempunyai empat anak bersekolah telah diberikan bantuan tambahan sebanyak ¥10,000 (RM380) seorang sebulan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah bagi menyara kos-kos luar jangka kerana terpaksa bersekolah dari rumah selama hampir lima minggu pada Mac – April 2020.

Pihak pentadbir sekolah telah diarahkan untuk tutup sesi persekolahan selama mana shingata korona berjaya dikawal, anak-anak akan diberikan set kerja rumah yang tebal oleh guru-guru, kelas atas talian hanya diteruskan untuk pelajar universiti, dan setiap premis diwajibkan untuk menyediakan pensanitasi tangan serta memakai pelitup separuh muka.

Kemudian pada pertengahan April 2020, sekolah dibuka semula untuk pelajar bagi melihat keberkesanan latihan mitigasi pandemik ini, namun disebabkan wabak menaik dengan mendadak, sekolah ditutup semula selama dua minggu pada akhir April 2020 sehingga awal Mei 2020.

Sejak daripada itu, sekolah berjalan seperti biasa dengan norma baharu dan aktiviti seperti sukan, kelab dan lawatan sekolah tetap dijalankan mengikut jadual dengan SOP baharu. Anak penulis dalam Tahun Enam sekolah rendah telah berpeluang melawat ke Pulau Sado terletak lebih 85 kilometer daripada Pelabuhan Bandar Niigata.

Lanjutan daripada kes yang sentiasa meningkat, Kerajaan Shinzo Abe telah bersetuju untuk menangguhkan Olimpik Tokyo 2020 pada musim panas 2021 iaitu pada Julai tahun ini. Ini sedikit sebanyak merencatkan perancangan Majlis Pengajuran Olimpik dan juga menjejaskan kewangan Kementerian Olimpik Jepun.

Menurut laporan Nikkei Asia, kerugian yang dialami oleh Jepun disebabkan penangguhan olimpik ini mencencah US$6 billion (RM24 bilion) mengambil kira kos penaja korporat, tempahan hotel dan sektor makanan dan pelbagai lagi kos seperti mengubah venue sukan olimpik dan jumlah kutipan tiket.

Umum mengetahui, hutang negara Jepun adalah antara tertinggi sejak daripada bubble burst pada awal 1990-an, dengan kos pandemik, kerajaan Jepun melaporkan keberhutangan negara pada aras  ¥1.12 quadrilion (RM44 trilion) atau 198% daripada KDNK / GDP negara pada akhir tahun kewangan 2019 dan terus meningkat lebih kepada ¥1.2 quadrilion (RM45.5 trilion) pada pertengahan tahun 2020.

Ini bermakna bagi setiap 126 juta warganegara Jepun diumpamakan menanggung hutang sebanyak US$98,000 (RM396,000) seorang.

Dengan peralihan kuasa daripada Shinzo Abe kepada Yoshihide Suga pada September 2020, rakyat telah memberikan simpati kepada Shinzo Abe kerana status kesihatannya yang tidak berapa baik.

Yoshihide Suga dilihat paling berwibawa dan layak untuk menggantikan Abe dan rakyat Jepun memberikan tempoh bulan madu kepada beliau untuk menangani wabak shingata korona ini.

Hampir setahun daripada tertutupnya sekolah dan perisytiharan darurat pada Mac 2020 yang lepas, penulis telah mengikuti rapat perkembangan usaha kerajaan Jepun dalam memberikan suntikan vaksin shingata korona.

Kerajaan Jepun telah meluluskan vaksin jenis Pfier Inc. kepada semua rakyat termasuk warga asing hanya pada 14 Februari 2021 iaitu setelah beberapa siri ujian dalaman oleh para farmaseutikal Jepun, ini disebabkan oleh rakyat mereka yang tidak mempercayai keberkesanan vaksin, hanya 33 peratus sahaja rakyat Jepun yang yakin dengan program vaksinasi kerajaan.

Faktor ini berlaku kerana sejarah dan pengalaman buruk pada era pasca peperangan yang menyebabkan rakyat mereka tidak percaya kepada program vaksin sebelum ini. Berbeza dengan kita di Malaysia, rakyat ternanti-nanti akan program vaksinisasi ini dan percaya kepada langkah dan usaha kerajaan.

Ada beberapa pelajaran dan tauladan yang boleh kita contohi di Malaysia, terutama sekali dari segi persekolahan, kedua peraturan SOP dan juga ketiga, iaitu sikap rakyat di Jepun.

Pertamanya adalah mewujudkan suasana persekitaran yang selamat kepada anak-anak melalui pemantauan yang jujur dan berkeyakinan. Ada ibu bapa yang menetap di bandar-bandar besar sudah berbulan-bulan tidak berjumpa keluarga disebabkan risau menjadi pembawa kepada virus tersebut.

Sekolah dan universiti mengawal dan memantau pergerakan pelajar serta tenaga pengajar dan perlu melaporkan keadaan mereka serta status kesihatan mereka. Tambahan pula dengan musim sejuk sehingga mencecah bawah paras beku dengan pengudaraan tertutup disebabkan aliran udara pemanas (heater), ianya amat memudahkan virus merebak lebih cepat.

Namun di bawah Perlembagaan negara Jepun melarang kerajaan menyekat, menghalang dan memaksa rakyatnya dikerah untuk sebarang sekatan disebabkan oleh pengalaman buruk semasa Perang Dunia Kedua. Situasi dahulu membuatkan rakyat mereka taat tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan demi untuk kesetiaan Maharaja Jepun yang telah dieksploitasi oleh Pemerintahan Tentera Imperial Jepun pada ketika itu. Perkara ini amat-amat sensitif apabila penulis membangkitkan isu ini bersama rakan dan pensyarah bangsa Jepun. 

Baru-baru ini Perdana Menteri Suga yang telah mentadbir hampir enam bulan telah dikecam hebat disebabkan keputusan yang sering berubah-ubah dan tidak konsisten. Kes-kes yang semakin meningkat tidak membantu kadar sokongan (rating) beliau dan termasuk juga skandal di mana anak lelaki beliau, Seigo Suga telah dilaporkan telah makan di restoran mewah bersama anggota kanan pentadbiran kerajaan bapanya.

Ini bertentangan dengan etika kerajaan dan peraturan sedia ada bagi mengelakkan rasuah dan salah guna kuasa. Perkara ini terpaksa dijawab oleh Suga di Dewan Rakyat atau Diet (dee-yet) semasa Jawatankuasa Bajet bertanya terus kepada Perdana Menteri Jepun.

Dengan olimpik yang tinggal hanya beberapa bulan lagi, perbelanjaan kewangan dan hutang yang kian menaik termasuk kos vaksin dan programnya yang pasti tinggi, penulis berharap suatu keajaiban dengan termusnahnya shingata korona melalui vaksin ini dapat menjadikan norma baharu ini hanya kenangan dan sebagai sempadan, kita dapat kembali kepada fitrah manusia yang sukakan interaksi, rindukan ziarah menziarahi dan bersalaman dan melihat senyuman mesra tanpa sebarang pelitup separa muka.


* Afdal Izal Md Hashim merupakan calon Ijazah Kedoktoran di Graduate School of International Relations, International University of Japan, Niigata, Jepun.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.