OIC gesa Majlis Keselamatan PBB sokong keanggotaan penuh Palestin dalam PBB

Gencatan senjata Gaza "membuka pandangan baharu dalam langkah global untuk keamanan yang berkekalan di Asia Barat." - EPA
HAMILTON (Kanada): Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Khamis menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam badan dunia itu dan mengekalkan gencatan senjata di Gaza, serta mengambil langkah konkrit menamatkan pendudukan Israel.
"Kami mengalu-alukan usaha Presiden AS Donald Trump dan pemeteraian perjanjian gencatan senjata untuk Gaza awal bulan ini," kata Timbalan Utusan Khas Turkiye ke PBB Asli Guven semasa beliau berucap kepada majlis itu bagi pihak Kumpulan OIC, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau berkata gencatan senjata Gaza "membuka pandangan baharu dalam langkah global untuk keamanan yang berkekalan di Asia Barat."
"Kami menggesa tindakan segera majlis berhubung penerimaan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," gesanya.
Guven seterusnya menggesa agar majlis itu terus "menyokong dan mengekalkan momentum semasa ke arah pemulihan keamanan yang berkekalan di Gaza dan seluruh Wilayah Palestin yang Diduduki."
"Kami menggesa semua ahli majlis yang dihormati untuk mengambil maklum tentang kos yang sangat besar akibat serangan dua tahun di Gaza dari segi kemanusiaan dan material," katanya berhubung "kehilangan besar lebih 68,000 nyawa kebanyakannya orang awam," serta kematian pekerja perubatan, petugas UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat) selain wartawan.
OIC juga mengutuk tindakan Israel di Syria dan Lubnan serta menganggap keputusan Israel di Golan yang diduduki sebagai "batal dan tidak sah" dan menggesa Israel untuk berundur dari semua tanah Arab yang diduduki "dengan segera, sepenuhnya dan tanpa syarat."
"Oleh itu, kami mengulangi harapan tulus kami agar pelan damai baru-baru ini akan membawa keamanan yang amat diharapkan di Palestin dan di seluruh Timur Tengah," kata Guven.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


