KUALA LUMPUR: Sekretariat Umum Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam sekeras-kerasnya pengeboman bunuh diri yang menyasarkan sebuah masjid di bandar Kandahar, selatan Afghanistan, Jumaat lepas yang mengorbankan puluhan jemaah.

Menurut kenyataan Sekretariat Jeneral yang berpusat di Jeddah itu, pihaknya mengutuk serangan kejam itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta berharap mereka yang cedera segera sembuh.

OIC turut menegaskan pendiriannya bahawa apa jua tindakan keganasan adalah jenayah dan tidak boleh diterima walau dengan apa alasan sekali pun.

BACA: Pengeboman masjid Afghanistan: Pemimpin dunia Islam harus segera bersuara dan bertindak

Insiden ketika solat Jumaat itu adalah yang ketiga berlaku pada Oktober. Kejadian pertama pada 3 Oktober 2021 di Masjid Eid Gah di Kabul, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang. Lima hari kemudian, satu lagi kejadian pengeboman bunuh diri berlaku di sebuah masjid di Kunduz yang meragut lebih 80 nyawa.

BACA: Konflik Afghanistan: Pengebumian besar-besaran mangsa serangan di masjid

BACA: Korban letupan di masjid Afghanistan meningkat kepada 47 mangsa

-- BERNAMA