Pihak berkuasa keselamatan di perkampungan sukan Olimpik Rio menerima tamparan baharu pada Rabu apabila atlet Denmark mendedahkan mereka menjadi mangsa kecurian barangan, sementara pihak penganjur mengeluarkan permohonan maaf.

Chef de Mission Denmark, Morten Rodtwitt memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa barangan seperti telefon bimbit, pakaian dan iPad mereka dilaporkan hilang.

“Ia ada kaitan dengan pekerja tambahan termasuk pembersih dan pengemas bilik yang ditugaskan di perkampungan sukan seperti yang kami mahukan. Namun, kami menjadi mangsa kecurian bersiri.

“Dari telefon, iPad hinggalah ke pakaian serta cadar katil,” ujarnya yang kehilangan iPad.

Sejak 18 Julai, delegasi Denmark telah membuat 150 aduan berkenaan pelbagai masalah di 36 unit apartmen yang dihuni mereka.

Jumaat lalu, delegasi Australia mendedahkan kes kecurian yang berlaku sewaktu para atlet diminta mengosongkan bangunan akibat insiden kebakaran.

Chef de Mission Australia Kitty Chiller berkata, sewaktu semua orang mengosongkan bangunan, dia sendiri ternampak tiga pegawai pemeriksa kebakaran mencuri pakaian sukan pasukan negaranya.

Laporan aduan juga diterima daripada delegasi China, yang kini semakin bimbang selepas ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa kecurian.

Penganjur Olimpik Rio telah meningkatkan kawalan keselamatan susulan aduan tersebut.

Kadar jenayah di Rio menjadi kebimbangan utama sepanjang penganjuran temasya sukan itu.

Jurucakap Rio 2016, Mario Adrada, telah mengeluarkan permohonan maaf kepada pelancong dan atlet yang terjejas akibat insiden berkenaan.

“Mereka ialah tetamu kita di Brazil. Kami amat bersimpati. Saya harap mereka faham bahawa kita benar-benar menyesai perkara ini,” ujarnya.