KUALA LUMPUR: Sekiranya varian baharu Omicron membawa kepada kemunculan semula penularan COVID-19, ekonomi yang paling teruk terjejas ialah negara yang mempunyai kadar vaksin yang lebih rendah, pergantungan yang tinggi pada pelancongan dan kapasiti rendah untuk menawarkan sokongan dasar fiskal dan kewangan tambahan untuk mengimbangi kesan pertumbuhan impak jangkitan.

Moody's Investors Services (Moody's) berkata jika varian itu menjejaskan selera risiko pasaran global, ia akan menyebabkan tekanan kewangan selanjutnya bagi penerbit hutang dengan keperluan pembiayaan yang besar.

Sebagai contoh, negara pasaran-pasaran sedang pesat membangun yang bergantung pada pasaran antarabangsa untuk meminjam mungkin menghadapi risiko pembiayaan semula yang lebih tinggi.

Ekonomi maju pula, dibantu oleh penggunaan vaksin yang sangat berkesan, kadar vaksinasi yang tinggi dan sokongan dasar yang meluas kepada sektor swasta, berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh varian baharu itu berbanding negara pasaran sedang pesat membangun.

"Tetapi keraguan terhadap vaksin kekal sebagai penghalang kepada pemulihan di banyak tempat, termasuk di beberapa ekonomi maju," kata Moody's dalam laporannya.

Bagaimanapun, kesan ekonomi ke atas negara pasaran sedang pesat membangun yang lain akan berbeza, dan akan bergantung pada faktor gabungan - sekatan kerajaan, keselesaan awam dengan interaksi sosial, dan keupayaan kerajaan dan bank pusat untuk menyediakan sokongan dasar tambahan kepada sektor swasta, jika perlu.

Namun begitu, pengalaman lampau daripada kemunculan varian lain, terutamanya varian Delta dan dasar kesihatan awam yang dilaksanakan untuk mengatasi gelombang jangkitan berturut-turut memberikan beberapa asas untuk mengenal pasti faktor yang akan menentukan kesan ekonomi dan kredit daripada varian terbaharu ini.

-- BERNAMA