BEBERAPA minggu lalu, Indonesia telah meluluskan Undang-undang Cipta Kerja Indonesia (Omnibus Law) meskipun mendapat bantahan jutaan rakyat Indonesia.

Di sebalik protes tersebut, Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, rang undang-undang baharu itu akan memberikan kesan positif terhadap perniagaan dan perindustrian di negara tersebut.

Menurutnya, objektif utama Omnibus Law adalah mencipta situasi yang lebih positif dan berkualiti yang dilihat menyulitkan sebelum ini dalam usaha menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara.

“Regulasi yang bertindih dan prosedur rumit dihentikan. Rantaian birokrasi dan perkara yang sukar dipotong serta pungutan liar (bayaran yang dikenakan secara tidak sah) yang selama ini menghambat pengusaha dan pelaburan juga dihapuskan.

“Ia dilakukan dengan tetap mengutamakan komitmen kami terhadap ramah lingkungan (mesra alam),” katanya dalam Dialog CEO Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Malaysia 2020, pada Khamis.

Tambah beliau, ketika ini kerajaan Indonesia sedang menyelesaikan peraturan pelaksanaan Omnibus Law.

“Ia diharap dapat menjadi daya ungkit (memanfaatkan) pertumbuhan ekonomi Indonesia di masa depan. Untuk itu, saya mengundang CEO dan pengusaha di kawasan Asia Pasifik mendapatkan peluang dari Omnibus Law yang baru disahkan ini.

“Saya yakin pengusaha dan pemilik perniagaan domestik dan antarabangsa akan merasa kesan positif daripada pelbagai potensi dan insentif,” ujarnya.

Jelas beliau, krisis yang muncul akibat COVID-19 membuatkan negara itu terpaksa melakukan reformasi struktur secara luar biasa.

Tegasnya, ia perlu dilakukan agar negara itu dapat terus bergerak dan membuka pintu seluasnya bagi ahli perniagaan dan pelabur dengan cara baharu.