SAN FRANCISCO: Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Oracle, memecat kira-kira 30,000 kakitangan di seluruh dunia dalam satu penstrukturan drastik yang bertujuan menyalurkan berbilion dolar kepada pelaburan kecerdasan buatan (AI).
Pemecatan itu melibatkan hampir 19 peratus daripada tenaga kerja global Oracle dan dimaklumkan kepada kakitangan terjejas melalui emel seawal jam 6 pagi.
Advertisement
Dalam emel berkenaan, syarikat memaklumkan langkah itu dibuat susulan “perubahan organisasi yang lebih meluas”.
“Selepas pertimbangan teliti terhadap keperluan perniagaan semasa Oracle, kami telah membuat keputusan untuk menamatkan peranan anda sebagai sebahagian daripada perubahan organisasi yang lebih luas,” menurut kandungan emel itu seperti dilaporkan Business Insider.
“Berkuat kuasa hari ini, ini merupakan hari terakhir anda bekerja.”
Langkah pengurangan besar-besaran itu dianggarkan akan menjana aliran tunai tambahan sehingga AS$10 bilion (sekitar RM40.2 bilion), yang dijangka akan digunakan untuk membiayai pembangunan pusat data dan operasi berkaitan AI.
Pengurus Operasi Kanan Oracle, Michael Shepherd, mengesahkan berlakunya “pengurangan ketara” kakitangan dan menyatakan ramai rakan sekerjanya terkesan.
Dalam satu hantaran di LinkedIn, beliau menegaskan kakitangan yang diberhentikan tidak berdepan pemecatan kerana prestasi.
“Mereka yang terjejas bukan diberhentikan kerana apa-apa kesilapan. Mereka ialah individu yang sentiasa tampil apabila berlaku masalah kritikal, tiba awal, pulang lewat dan memiliki pengetahuan organisasi yang dibina selama bertahun-tahun,” katanya.
Shepherd turut menyatakan pasaran pekerjaan kini menerima kemasukan besar bakat berpengalaman termasuk jurutera, arkitek, pengurus program dan pakar teknologi.
Beliau menggesa industri supaya mempertimbangkan golongan terbabit.
Ratusan bekas kakitangan Oracle telah menggunakan platform LinkedIn untuk mengumumkan pemergian mereka secara mengejut dan berkongsi pengalaman masing-masing.
Oracle, yang terkenal sebagai penyedia perisian pengurusan pangkalan data, kini menggaji kira-kira 162,000 pekerja di seluruh dunia.
Syarikat itu diasaskan di Santa Clara, California, sebelum memindahkan ibu pejabatnya ke Austin, Texas pada 2020. Ia merekodkan hasil tahunan kira-kira AS$18 bilion.
Oracle enggan mengulas lanjut apabila dihubungi media berhubung langkah pemberhentian besar-besaran itu.