UNIVERSITI Oxford di United Kingdom buat pertama kali melancarkan kajian untuk mengkaji tahap keselamatan dan tindak balas imun terhadap vaksin COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut satu kenyataan pada Sabtu, vaksin buatan Oxford bersama AstraZeneca itu akan melalui ujian baharu ke atas individu berusia antara 6 hongga 17 tahun.

Oxford memberitahu Reuters bahawa kira-kira 300 sukarelawan akan terlibat dalam ujian itu yang dijangka bermula bulan ini.

Vaksin buatan Oxford-AstraZeneca diangkat sebagai ‘vaksin untuk dunia’ kerana faktor harga yang lebih murah serta lebih mudah diedarkan berbanding beberapa calon vaksin lain.

BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19. Klik di sini.

AstraZeneca menyasarkan pengeluaran 3 bilion dos tahun ini, serta untuk mengeluarkan lebih 200 juta dos setiap bulan menjelang April.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan bahawa dos vaksin AstraZeneca yang bakal diterima Malaysia menerusi program COVAX akan dikeluarkan oleh syarikat Korea Selatan, SK Bioscence.

Manakala bekalan vaksin yang ditempah secara langsung daripada syarikat itu akan dihantar dari Thailand.