DUNIA
Oxford Street London ditutup sehari untuk pejalan kaki

Oxford Street merupakan antara kawasan beli-belah paling sibuk di dunia, dengan kira-kira setengah juta pengunjung setiap hari. - Gambar fail/Reuters
LONDON: Sebahagian "Oxford Street di London" akan ditutup kepada trafik pada Ahad sebagai sebahagian rancangan Datuk Bandar Sadiq Khan untuk menjadikannya laluan khas pejalan kaki, lapor PA Media/dpa.
Ringkasan AI
- Sebahagian Oxford Street di London ditutup kepada trafik pada Ahad sempena acara -This Is Oxford Street-, sebagai langkah awal menjadikan kawasan itu laluan khas pejalan kaki.
- Acara ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti muzik langsung, seni, gerai makanan dan festival kesusasteraan, serta bertujuan mempromosikan Oxford Street sebagai ruang awam mesra semua.
- Datuk Bandar London, Sadiq Khan bercadang memperluas penutupan sehingga ke Marble Arch dan Tottenham Court Road, tertakluk kepada kelulusan kerajaan UK dan rundingan awam hujung tahun ini.
"Oxford Street" merupakan antara kawasan beli-belah paling sibuk di dunia, dengan kira-kira setengah juta pengunjung setiap hari.
Khan bercadang memperluas penutupan itu meliputi 0.7 batu (1.12 kilometer) dari Oxford Circus ke Marble Arch, dengan kemungkinan perubahan seterusnya hingga ke Tottenham Court Road.
"'This Is Oxford Street' bakal menjadi acara mercu tanda, percuma dan terbuka untuk semua, mempamerkan jalan utama negara seperti yang tidak pernah dilihat sebelum ini, serta memberi gambaran masa depan kawasan ini.
"Sebagai datuk bandar, saya berjanji untuk menjadikan "Oxford Street" kawasan pejalan kaki dan bertekad membuka potensi sebenarnya sebagai jalan kelas dunia yang bersih, mesra semua dan mudah diakses, sambil kita membina London yang lebih hijau dan selamat," katanya.
Cadangan terperinci mengenai pelan pejalan kaki itu akan dibuka untuk rundingan awam hujung tahun ini.
Cubaan terdahulu Khan untuk menutup sebahagian Oxford Street kepada trafik pada 2018 pernah ditolak oleh Majlis Bandaraya Westminster yang ketika itu ditadbir Parti Konservatif.
Cadangan terbaharunya kini bergantung pada kelulusan kerajaan United Kingdom untuk menubuhkan sebuah "Mayoral Development Corporation" baharu yang akan diberi kuasa perancangan.
Entiti itu disasarkan dapat diwujudkan pada awal tahun depan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami