'Pablo Escobar of Ecuador' diekstradisi ke Amerika Syarikat

Agensi
Februari 25, 2018 23:54 MYT
Foto yang tidak bertarikh dikeluarkan Polis Kebangsaan Colombia menunjukkan anggota penguatkuasa mengiringi Washington Edison Prado selepas dia ditangkap pada April 2017. (Foto AP)
Ketua kartel dadah paling dikehendaki, dikenali sebagai 'Pablo Escobar of Ecuador', diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) dari Colombia pada Ahad.
Menurut kenyataan pejabat Ketua Pendakwaraya Colombia, Washington Edison Prado yang turut digelar 'Gerald' itu akan berdepan pertuduhan menyeludup dadah jenis kokain seberat 250 tan ke AS.
Terdapat usaha membatalkan perintah ekstradisi itu sebelum ini apabila Prado mengaku menganggotai Kumpulan Revolusi Bersenjata Colombia (FARC), namun usaha terbabit gagal.
Seramai 5 orang komander dan pegawai dari pelbagai agensi penguatkuasaan mengiringi Prado ke AS.
Pihak berkuasa AS mendakwa, modus operandi yang dijalankan Prado hampir menyamai kegiatan kartel yang diketuai Pablo Escobar kira-kira tiga dekad lalu pada era 90-an.
Prado dikatakan menyeludup masuk dadah menggunakan 10 buah bot laju dengan anggaran satu tan penghantaran setiap minggu.
Dia dikatakan bermula sebagai pengedar kecil-kecilan di sepanjang pantai di selatan AS sebelum melebarkan kegiatan penyeludupannya di lima buah negara.
Prado ditangkap di Colombia pada April tahun lalu atas dakwaan yang dibuat oleh mahkamah persekutuan Florida.
#Amerika Syarikat #Colombia #Dadah #pablo escobar