KUALA LUMPUR: Pesakit tuberkulosis; atau tibi, yang tidak patuh kepada jadual rawatan telah menyebabkan rintangan penyakit tersebut terhadap ubatan yang diberikan oleh pihak penjagaan kesihatan.
Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Aisah Mokhtar berkata rintangan rawatan ini telah menyukarkan usaha untuk menghentikan penularan tibi dalam masyarakat.
"Kita tahu penyakit tibi ini bukanlah penyakit yang tiada rawatan. Sekiranya dapat dirawat lebih awal, hasil rawatan akan lebih baik. Cabaran paling besar ketika ini yang kita lihat ialah tuberkulosis rintang pelbagai ubat.
“Kita tahu rawatan tibi ini mengambil masa yang lama dan perlu konsisten. Kita lihat ramai pesakit tidak ikut jadual rawatan yang menyebabkan penyakit rintang terhadap rawatan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Dalam temu bual sama, Profesor Madya Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani bersetuju bahawa wujud kumpulan pesakit yang tidak mengikut prosedur rawatan secara berdisiplin.
“Sesetengah orang mungkin penat untuk ambil ubat, pergi ke klinik kesihatan untuk makan ubat di depan penyedia perkhidmatan kesihatan. Sekarang boleh makan ubat secara dalam talian melalui panggilan video.
“Banyak rawatan tidak diteruskan sepenuhnya kerana pesakit rasa sudah pulih. Benar, pada peringkat awal kuman tersebut berkurangan dan mati, tetapi apabila kuman itu hidup semula, ia jadi lebih kuat. Kekebalan jadi lebih kuat dan rawatan akan menjadi sukar,” jelasnya.
Pada Selasa, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mendedahkan sebanyak 10 kluster baharu tibi dikesan di tujuh negeri setakat Sabtu lepas dengan Johor mencatatkan kes tertinggi, iaitu 37 kes.
Beliau berkata kes di Johor melibatkan 29 kanak-kanak dan lapan dewasa dengan indeks kes daripada satu kluster seorang wanita berusia 72 tahun di Kota Tinggi.
Daripada keseluruhan kes itu, Dr. Dzulkefly berkata 36 daripadanya dikesan secara aktif menerusi inisiatif pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) turun ke kawasan untuk melakukan ujian dan pengesanan kontak.
Manakala, Selangor mencatatkan empat kluster (10 kes). Seterusnya, Kedah (2 kes), Kelantan (2 kes), Pahang (4 kes), Perlis (2 kes) dan Sabah (5 kes) masing-masing satu kluster.
Advertisement