WASHINGTON: Pakar bedah awam Amerika Syarikat (AS) gesa usaha nasional dalam memerangi berita palsu mengenai COVID-19 dan vaksin.

Vivek Murthy turut menggesa syarikat teknologi, pekerja penjagaan kesihatan, wartawan dan rakyat AS melakukan lebih baik dalam mengatasi ancaman terhadap kesihatan awam.

"Ketika penularan wabak COVID-19, ramai orang menolak memakai pelitup muka di kawasan berisiko tinggi akibat penyebaran berita palsu.

"Mereka turut menolak rawatan yang telah terbukti berkesan dan memilih untuk tidak terima suntikan.

"Keadaan ini telah menyebabkan ramai dijangkiti dan susulan itu jumlah kes kematian yang tinggi.

"Dalam erti kata yang lain, penyebaran berita palsu telah menyebabkan kematian," katanya.

Ujar Murthy, berita palsu menyebabkan orang ramai menolak vaksin dan nasihat kesihatan awam mengenai pelitup muka serta penjarakan fizikal yang melemahkan usaha menamatkan virus COVID-19 dan membahayakan nyawa.

Amaran itu dikeluarkan susulan kadar vaksinasi di AS menurun berikutan penentangan terhadap vaksin dan berita palsu mengenai keselamatan imunisasi walaupun angka kematian di negara itu melepasi 600,000 kes.

Berikutan penggunaan internet yang meluas dalam menyebarkan maklumat salah kesihatan, Murthy mendesak syarikat teknologi dan platform media sosial membuat perubahan dalam produk perisian mereka bagi mengurangkan berita palsu.

Ini termasuk meningkatkan akses kepada sumber yang berdasarkan fakta dan sahih.