COLOMBO: Pasukan pakar perubatan penyakit kusta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan berada di Sri Lanka pada Mac bagi membantu menangani peningkatan kes penyakit kusta di negara itu, menurut pengarah Kempen anti-Kusta (ALC), Prasad Ranaweera yang muncul di TV tempatan pada Rabu, lapor Xinhua .

Beliau berkata, bilangan pesakit kusta di Sri Lanka meningkat dengan ketara pada 2023 selepas menurun pada 2020 dan 2021 susulan sekatan pergerakan semasa COVID-19.

Ranaweera berkata, lebih 1,550 kes kusta dilaporkan pada 2023 dan daripada jumlah itu, sebanyak 173 kes melibatkan pelajar sekolah.

Daripada keseluruhan 1,550 pesakit, wilayah barat yang paling ramai penduduk di Sri Lanka, merekodkan 599 kes.

Ranaweera berkata, pakar WHO akan membantu menyediakan pelan tindakan untuk menangani kusta di Sri Lanka sepanjang dekad akan datang. - BERNAMA