Skip to main content

Dunia

Pakatan Pertahanan Mekah tidak akan jadi kerjasama ketenteraan seperti NATO - Penganalisis

Turkey's Foreign Minister Hakan Fidan, Pakistan's Deputy Prime Minister and Foreign Minister Mohammad Ishaq Dar, and Saudi Foreign Minister Prince Faisal bin Farhan Al Saud pose for a picture before the first committee meeting under the joint defence accord, the "Mecca Joint Defence Agreement", in Istanbul, Turkey, August 31, 2026. REUTERS/Murad Sezer
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar; dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud bergambar sebelum mesyuarat pertama jawatankuasa di bawah “Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah”, di Istanbul, Turkiye pada 31 Ogos 2026. - Reuters
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pakatan Pertahanan Mekah yang ditandatangani Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan dijangka tidak akan menjadi sebuah kerjasama ketenteraan seperti Perjanjian Atlantik Utara (NATO).  

Ketua Divisyen Penyelidikan dan Penerbitan, Institut Kajian Islam dan Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Dr. Abdul Latiff Mohd Ibrahim berkata, pakatan negara-negara Islam ini tidak mempunyai musuh yang dianggap boleh menyebabkan rantau Asia Barat tidak stabil.  

"Kalau ia diformulasikan dalam bentuk NATO ala Asia Barat, siapa yang akan menjadi musuh kepada pakatan ini? Bagi NATO, ia masih bawa fahaman Barat lawan Timur; Amerika Syarikat lawan Kesatuan Soviet-Rusia dan China.  

“Dalam konteks Asia Barat ini, adakah satu musuh baharu? Maka tidak munasabah untuk nyatakan pakatan ini adalah ala NATO untuk menghadapi satu musuh yang besar yang boleh menggugat negara-negara di Asia Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Jelasnya, jangkaan tersebut dikuatkan lagi dengan cadangan pakatan tersebut untuk menerima masuk Iran sebagai sebahagian negara anggotanya.

Pada 31 Ogos lalu, pegawai kanan Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan bertemu di Istanbul dan mengumumkan nama rasmi kerjasama ketenteraan antara negara-negara berkenaan sebagai Pakatan Pertahanan Mekah.  

Perjanjian yang telah dimeterai sejak 7 Ogos itu adalah bertujuan memperkukuh keselamatan serantau, melindungi pasaran tenaga serta meningkatkan keupayaan pertahanan kendiri ketiga-tiga negara.  

Perjanjian itu menetapkan bahawa sebarang serangan bersenjata terhadap salah satu negara anggota akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemua anggota, menyerupai prinsip pertahanan bersama di bawah Artikel 5 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).  

Menerusi pembahagian peranan yang dipersetujui, Arab Saudi akan membiayai projek pertahanan bersama, manakala Turkiye menyediakan teknologi ketenteraan termaju termasuk dron dan peralatan berteknologi tinggi, sementara Pakistan menyumbang anggota tentera serta pasukan barisan hadapan.  

Pakatan berkenaan memperluas kerjasama pertahanan terdahulu antara Pakistan dan Arab Saudi yang dimeterai pada September 2025, sebelum dikuatkuasakan ketika ketegangan serantau semakin memuncak susulan perang Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

Must Watch Video

Advertisement