ISLAMABAD: Pihak berkuasa media Pakistan melarang saluran televisyen satelit daripada menyiarkan ucapan bekas perdana menteri Imran Khan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Electronic Media Regulatory Authority (PEMRA) mengenakan larangan itu pada Ahad selepas Khan dalam ucapannya pada satu acara di Lahore yang didakwa mempunyai unsur provokasi dan menggalakkan kebencian.

Bekas perdana menteri itu dikatakan cuba mengelak daripada ditahan dan mendakwa seorang bekas ketua tentera menjadi dalang kepada penyingkirannya. Beliau juga menuduh agensi perisik negara itu menahan dan menyeksa pembantu politiknya.

PEMRA menuduh Khan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap institusi dan pegawai kerajaan serta menimbulkan kebencian melalui kenyataan provokasinya.

Beberapa jam kemudian, pihak berkuasa menggantung lesen ARY News kerana melanggar perintah dan menyiarkan ucapan Khan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan (HRCP) mengkritik langkah itu dan menyifatkan ia sebagai langkah menyekat kebebasan bersuara.

Tindakan melarang saluran televisyen untuk menyiarkan secara langsung atau rakaman ucapan seorang pemimpin politik bukan perkara baru di Pakistan.

Pada 2020, PEMRA menyekat daripada menyiarkan ucapan bekas perdana menteri Nawaz Sharif semasa Khan masih memegang jawatan.

Khan, yang berkuasa selepas pilihan raya pada 2018 telah disingkirkan oleh parlimen pada April tahun lalu melalui undi tidak percaya dan sejak itu beliau berdepan pelbagai tindakan undang-undang.

Antaranya, didakwa melakukan pengubahan wang haram, mencuri hadiah mahal, menyembunyikan aset dan mengumpul dana haram untuk partinya di Amerika Syarikat, India dan Eropah.

-- BERNAMA