ANKARA: Pakistan telah menerima bantuan kewangan sebanyak AS$2 bilion daripada Arab Saudi beberapa hari selepas Islamabad dan IMF mencapai perjanjian bantuan AS$3 bilion, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan menteri kewangan negara itu pada Selasa.

"Bank Negara Pakistan (SBP) telah menerima deposit sebanyak AS$2 bilion daripada Kerajaan Arab Saudi. Aliran masuk ini telah meningkatkan rizab tukaran asing yang dipegang oleh SBP bagi minggu berakhir 14 Julai," menurut Ishaq Dar di Twitter.

Pada 30 Jun, Pakistan menandatangani perjanjian IMF sembilan bulan di bawah pengaturan untuk AS$3 bilion, tertakluk kepada kelulusan lembaga IMF pada 12 Julai.

Perjanjian itu akan membantu menambah rizab asing negara Asia Selatan itu yang semakin berkurangan dan membendung krisis imbangan pembayaran yang semakin meningkat.

Terdahulu, SBP menandatangani perjanjian AS$3 bilion dengan Saudi Fund for Development (SFD) untuk menambah baik rizab tukaran asingnya.

SFD mengesahkan peralihan deposit bernilai AS$3 bilion pada September 2022 dengan tarikh matang pada 5 Dis tetapi Arab Saudi melanjutkan tempoh tersebut pada 2 Dis.

-- BERNAMA