CPI 2025: Malaysia komited perkukuh usaha capai kedudukan 25 teratas - KSN

Kerajaan akan terus memperkasakan inisiatif anti-rasuah sedia ada serta memastikan nilai integriti benar-benar dihayati. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menegaskan peningkatan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 adalah bukti nyata komitmen kerajaan untuk memperkukuh integriti dan tatakelola awam di semua peringkat.
Menurut Transparency International Malaysia (TI), negara kini berada di tangga ke-54, naik daripada ke-57 pada tahun sebelumnya, dengan skor 52 mata berbanding 50 mata bagi 2024 dan 2023.
Dalam kenyataannya, Shamsul Azri menekankan pencapaian ini bukan sekadar angka statistik, tetapi hasil daripada usaha bersepadu kerajaan dalam memperkukuh sistem tatakelola baik, penguatkuasaan undang-undang, dan kolaborasi antara sektor awam dan swasta.
“Peningkatan ini mencerminkan dedikasi Malaysia dalam membina ekosistem yang menolak rasuah dan memupuk nilai integriti sebagai budaya negara. Kita komited untuk melihat Malaysia berada dalam 25 negara teratas menjelang 2030,” katanya.
Beliau menjelaskan kerajaan akan terus memperkasakan inisiatif anti-rasuah sedia ada serta memastikan nilai integriti benar-benar dihayati dalam kalangan penjawat awam melalui Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah.
Usaha ini juga merangkumi memastikan semua perolehan kerajaan dijalankan dengan berintegriti melalui penguatkuasaan Akta Perolehan Kerajaan.
Selain itu, Shamsul Azri berkata kerajaan akan melancarkan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional, memperkukuh sistem pengurusan integriti, serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui Akta Iltizam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


