DUNIA
Palsu tapi berani: Lelaki lakukan rawatan akar gigi berpandukan arahan dalam talian

Lelaki tersebut telah melakukan prosedur rumit termasuk mencabut gigi, rawatan akar gigi dan suntikan bius ke atas puluhan pesakit. - Gambar hiasan
PRAGUE: Seorang lelaki berusia 22 tahun di Republik Czech telah didakwa bersama dua ahli keluarganya selepas menjalankan klinik pergigian haram dari rumah mereka di Havlickuv Brod, dengan hanya berpandukan arahan yang diperoleh dari internet.
Menurut pihak polis, lelaki tersebut - yang tidak memiliki sebarang kelayakan profesional - telah melakukan prosedur rumit termasuk mencabut gigi, rawatan akar gigi (root canal), dan suntikan bius ke atas puluhan pesakit sepanjang dua tahun operasi klinik tersebut.
Dua lagi ahli keluarganya, seorang wanita berusia 50 tahun dan lelaki berusia 44 tahun, masing-masing bertindak sebagai jururawat dan pembuat gigi palsu.
Klinik haram itu dilaporkan memperoleh pendapatan sekitar empat juta koruna Czech (kira-kira RM800,000), dan menggunakan bahan pergigian yang diperoleh secara tidak sah daripada sektor kesihatan.Ketiga-tiga mereka telah mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen, pengubahan wang haram, cubaan mencederakan, pengedaran ubat-ubatan, dan kecurian.
Mereka berdepan hukuman penjara sehingga lapan tahun.
Presiden Dewan Pergigian Czech, Roman Šmucler, menyatakan bahawa kes doktor gigi palsu bukanlah sesuatu yang luar biasa, dengan purata sepuluh kes dilaporkan setiap tahun.
Beliau turut menggesa penguatkuasaan lebih ketat dan pemantauan terhadap amalan pergigian tidak berlesen.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami