Sebuah kumpulan gabungan media antarabangsa menerbitkan hasil siasatan yang mendedahkan aktiviti kewangan luar pesisir golongan elit dunia.

Organisasi yang digelar Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ) itu, mendedahkan 11.5 juta rekod kewangan ahli perniagaan, selebriti, bintang sukan serta pemimpin dunia.

Organisasi yang berpangkalan di Washington itu berkata data ini diperolehi dari sebuah firma perundangan di Panama, Mossack Fonseca.

Ia turut digelar sebagai "Panama Papers".

Antara lain, ianya menunjukkan rekod transaksi kewangan oleh bekas pemimpin atau pemimpin kini Argentina, Iceland, Arab Saudi dan Rusia.

Antaranya, Syarikat Wintris yang didakwa mempunyai hubungan dengan perdana menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson.

Gunnlaugsson enggan menjawab soalan yang ditujukan kepadanya oleh akhbar Britain, The Guardian mengenai syarikat tersebut.

Sementara itu pejabat Presiden Argentina Mauricio Macri juga ketika ditanya mengenai syarikat milik keluarganya di Bahamas menegaskan, Presiden itu tidak mempunyai sebarang pegangan atau kepentingan di dalam syarikat itu.

Ia menambah Macri juga tidak pernah menerima sebarang pendapatan dari syarikat itu.

Pejabat Macri membalas laporan akhbar Argentina, La Nacion yang mendakwa presiden itu dan keluarganya mempunyai pertalian dengan syarikat tersebut.

Sementara itu firma undang-undang Mossack Fonseca tidak dapat dihubungi untuk sebarang maklumat lanjut oleh Associated Press.