BANGKOK: Panel Dialog Keamanan bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) mahu semua pihak menghentikan keganasan sepanjang Ramadan bagi mewujudkan suasana yang selamat dan sejahtera.

Menurut kenyataan PEDP, pihaknya telah menyuarakan cadangan itu kepada Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin supaya syor itu dapat dimaklumkan kepada Barisan Revolusi Nasional (BRN).

"Cadangan menghentikan keganasan sepanjang Ramadan bertujuan untuk mewujudkan suasana yang 'positif dan tanpa keganasan' sepanjang bulan Ramadan (bermula pada 23 Mac dan dijangka berakhir pada 21 April).

"Pada masa yang sama ia membolehkan orang ramai selamat menjalankan ibadah," menurut kenyataan itu.

Tahun ini, Hari Songkran (13 hingga 15 April) juga akan disambut pada bulan Ramadan.

Sehubungan itu, PEDP berharap semua pihak akan memainkan peranan untuk mewujudkan suasana yang aman.

Kini, proses rundingan damai antara pihak kerajaan Thailand dengan BRN bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik. Jeneral Wanlop Rugsanoah mengetuai PEDP.

Malaysia adalah fasilitator bagi proses rundingan damai dalam menamatkan konflik yang sudah berlarutan selama berpuluh tahun di wilayah selatan iaitu di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Selain itu, PEDP juga berharap perbincangan Pelan Komprehensif Kerjasama ke Arah Perdamaian (JCPP) akan diteruskan untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand.

Menurut PEDP pelan hala tuju untuk 2023-2024 merupakan kunci perdamaian di selatan Thailand.

Pada Februari tahun ini, JCPP telah dipersetujui dalam Mesyuarat Rasmi keenam Proses Dialog Damai di Kuala Lumpur yang dilihat akan membawa sinar harapan untuk menyelesaikan konflik di wilayah itu.

Mesyuarat itu adalah yang pertama buat bekas Panglima Angkatan Tentera, Zulkifli selepas dilantik sebagai fasilitator baharu Malaysia untuk proses dialog damai di selatan Thailand berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor.

Proses Dialog Damai Selatan Thailand di antara Kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang kini memasuki tahun ke-10.

Proses itu bermula apabila Perdana Menteri Thailand ketika itu, Yingluck Shinawatra meminta Malaysia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik di selatan Thailand.

-- BERNAMA