Panggilan Putin-Trump ubah rentak, ujian baharu buat Zelenskyy menjelang pertemuan di White House

Presiden Zelenskyy (kiri) sebelum ini berharap untuk mendapatkan bantuan ketenteraan tambahan daripada Presiden Trump termasuk kelulusan bagi pembelian peluru berpandu jarak jauh Tomahawk. - Gambar fail AP
KYIV: Panggilan telefon antara Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis yang menyaksikan kedua-duanya bersetuju untuk bertemu bagi membincangkan perang di Ukraine, ternyata mengejutkan Kyiv - dan hadir pada saat yang tidak dijangka.
Dalam tempoh 24 jam terakhir, Rusia melancarkan puluhan peluru berpandu dan lebih 300 dron ke pelbagai sasaran di seluruh Ukraine.
Serangan itu sekali lagi memusnahkan infrastruktur awam termasuk rangkaian bekalan gas negara tersebut, ketika rakyatnya sedang bersiap menghadapi musim sejuk yang panjang dan getir.
Serangan ke atas sistem tenaga juga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara.Bagi kerajaan Ukraine, situasi ini dilihat sebagai tanda putus asa Rusia - dengan barisan hadapan kini dalam keadaan buntu dan kehilangan nyawa yang besar untuk kemaraan yang kecil.
Dalam masa sama, ekonomi Rusia turut terjejas akibat serangan dron Ukraine ke atas depot minyak di wilayahnya.
Presiden Volodymyr Zelenskyy sebelum ini berharap untuk mendapatkan bantuan ketenteraan tambahan daripada Amerika Syarikat, termasuk kelulusan bagi pembelian peluru berpandu jarak jauh Tomahawk.
Namun, panggilan telefon antara Trump dan Putin itu berlaku ketika Zelenskyy masih dalam penerbangan ke Washington, sekali gus menenggelamkan sedikit tumpuan terhadap lawatan pentingnya ke White House.
Trump dan Putin dilaporkan berbual selama dua jam setengah - satu perbincangan yang menurut Kremlin, diadakan atas permintaan Moscow.
Kedua-duanya turut membincangkan isu Tomahawk dengan Putin menegaskan, langkah menempatkan peluru berpandu itu akan dianggap sebagai tindakan provokasi besar.
Selain itu, mereka juga membincangkan “prospek perdagangan besar” sekiranya keamanan dapat dicapai, dan bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak di Hungary dalam tempoh dua minggu akan datang.
Sebelum ini, kegagalan Sidang Kemuncak Alaska antara Trump dan Putin pada Ogos serta peningkatan serangan Rusia ke atas Ukraine telah menimbulkan harapan baharu bahawa Trump mula hilang sabar dengan sekutunya itu.
Namun panggilan terbaharu ini memberi gambaran sebaliknya - Putin masih mampu mempengaruhi Trump, sekali gus menjejaskan kemungkinan Ukraine menerima bantuan ketenteraan yang diharapkan.
Setibanya di Washington, Zelenskyy sempat bertemu wakil syarikat pertahanan yang menghasilkan senjata-senjata canggih termasuk Tomahawk, sebelum dijadual bertemu Presiden Trump di White House.
Zelenskyy bagaimanapun tetap menunjukkan keyakinan, dengan menyifatkan tindakan Rusia itu sebagai tanda “panik” dan kegusaran terhadap kekuatan Ukraine.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami