awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Titah Adendum: Jika mahu tahanan di rumah, bawalah ke Parlimen - Penganalisis
Gencatan senjata Gaza: Realiti lapangan tidak seiring pelan, curiga keadaan tambah baik – Presiden MAPIM
Ranking Zii Jia terus merudum
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Parlimen Algeria isytihar penjajahan Perancis sebagai jenayah, tuntut permohonan maaf dan pampasan

Agensi
Agensi
24/12/2025
23:20 MYT
Parlimen Algeria isytihar penjajahan Perancis sebagai jenayah, tuntut permohonan maaf dan pampasan
Parlimen Algeria sebulat suara meluluskan undang-undang pada Rabu yang mengisytiharkan penjajahan Perancis sebagai jenayah serta menuntut permohonan maaf dan pampasan. - Gambar AP
ALGIERS: Parlimen Algeria sebulat suara meluluskan undang-undang yang mengisytiharkan penjajahan Perancis ke atas negara Afrika Utara itu sebagai jenayah, selain menuntut permohonan maaf serta pampasan.
Menurut laporan televisyen kerajaan, undang-undang itu juga mengklasifikasikan perbuatan mengagungkan kolonialisme sebagai satu jenayah.
Langkah itu dilihat sebagai petanda terbaharu hubungan diplomatik antara kedua-dua negara semakin tegang, dengan pemerhati menyifatkan ia berada pada tahap paling rendah sejak Algeria meraih kemerdekaan 63 tahun lalu.
Penjajahan Perancis ke atas Algeria dari 1830 hingga 1962 dicatatkan dengan pembunuhan beramai-ramai, pengusiran besar-besaran dan berakhir dengan perang kemerdekaan berdarah.
Algeria mendakwa, perang itu meragut 1.5 juta nyawa, sementara ahli sejarah Perancis menganggarkan angka jauh lebih rendah.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron sebelum ini mengakui penjajahan Algeria sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan”, namun belum pernah memohon maaf.
Ketika rang undang-undang diluluskan, Ahli Parlimen Algeria dilaporkan memakai selendang berwarna bendera kebangsaan sambil bersorak “Hidup Algeria.”
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, undang-undang itu menyatakan Perancis mempunyai “tanggungjawab undang-undang” terhadap “tragedi yang berlaku” dan pampasan yang “adil dan menyeluruh” adalah “hak mutlak negara dan rakyat Algeria”.
Setakat ini, Perancis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan tersebut.
Langkah ini hadir ketika tekanan semakin meningkat terhadap kuasa Barat untuk menawarkan pampasan atas perhambaan dan kolonialisme serta memulangkan artifak yang masih disimpan di muzium mereka.
Antara tuntutan Algeria ialah pemulangan meriam gangsa abad ke-16 dikenali sebagai Baba Merzoug atau “Bapa Diberkati” yang dianggap pelindung kota Algiers.
Meriam itu dirampas tentera Perancis pada 1830 dan kini berada di bandar Brest, barat laut Perancis.
Pada 2020, Perancis memulangkan 24 rangka pejuang Algeria yang gugur menentang penjajah pada abad ke-19.
Bulan lalu, Algeria menganjurkan persidangan negara-negara Afrika bagi mendesak keadilan dan pampasan.
Menteri Luar Algeria, Ahmed Attaf menegaskan, kerangka undang-undang diperlukan supaya pemulangan hak tidak dianggap sebagai “hadiah atau ihsan.”
Hubungan diplomatik Algeria-Perancis merosot tahun lalu selepas Macron mengiktiraf kedaulatan Maghribi ke atas Sahara Barat dan menyokong pelan autonomi terhad bagi wilayah yang dipertikaikan itu.
Algeria pula menyokong Polisario Front yang memperjuangkan kemerdekaan Sahara Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, novelis Perancis-Algeria, Boualem Sansal ditahan di lapangan terbang Algiers dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas dakwaan menjejaskan keselamatan negara selepas mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan sempadan Algeria.
Beliau, bagaimanapun, menerima pengampunan Presiden Abdelmadjid Tebboune bulan lalu. - Agensi
Topic Berkaitan
#Algeria
#Perancis jajah Algeria
#penjajahan Perancis
#kolonialisme
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan