ISTANBUL: Parlimen Eropah pada Khamis meluluskan resolusi menggesa NATO mempelawa Ukraine menyertai pakatan itu selepas perang dengan Rusia berakhir.

"MEP (Ahli Parlimen Eropah) menyeru sekutu NATO untuk menghormati komitmen mereka kepada Ukraine dan memberi laluan untuk Kyiv dijemput menyertai pakatan pertahanan," Agensi Anadolu memetik kenyataan media yang dikeluarkan oleh Parlimen Eropah berikutan kelulusan resolusi tersebut.

EU dalam kenyataan itu memaklumkan negara anggotanya, bersama-sama dengan NATO dan rakan kongsi "sefahaman" mesti bekerjasama rapat dengan Ukraine untuk mewujudkan rangka kerja sementara bagi jaminan keselamatan berkenaan Kyiv.

Ahli Parlimen Eropah menegaskan bahawa ia akan dilaksanakan sejurus selepas perang Rusia-Ukraine, sambil menambah bahawa negara anggota mesti bekerjasama dengan Ukraine berkaitan hal itu sehingga Kyiv mencapai keanggotaan penuh.

"Parlimen menekankan bahawa integrasi Ukraine dalam NATO dan EU akan meningkatkan keselamatan serantau dan global serta mengukuhkan ikatan antara Ukraine dan komuniti Euro-Atlantik," menurut kenyataan itu.

Ahli Parlimen Eropah menjangkakan "proses penyertaan akan bermula selepas perang tamat dan dimuktamadkan secepat mungkin," serta "laluan yang jelas" untuk penyertaan EU Kyiv.

Parlimen Eropah juga mengecam kemusnahan empangan Kakhovka di selatan Ukraine, menyebutnya sebagai "jenayah perang" yang mengakibatkan "bencana alam sekitar" dan "ekosid," menurut kenyataan itu.

Ia menuduh Rusia mendalangi letupan empangan itu dengan menyatakan Ahli Parlimen berkata "semua mereka yang bertanggungjawab untuk jenayah perang, termasuk memusnahkan empangan akan dipertanggungjawabkan selaras dengan undang-undang antarabangsa."

Awal minggu lalu, darurat diisytiharkan di kedua-dua belah kawasan empangan Kakhovka di wilayah Kherson di selatan Ukraine selepas ia pecah - sebahagiannya dikawal oleh Rusia dan sebahagian lagi oleh Ukraine.

-- BERNAMA