BRUSSELS: Parlimen Eropah pada Rabu menerima pakai undang-undang yang melarang eksport produk yang menyumbang kepada penebangan hutan, lapor Agensi Anadolu.

Dengan 552 undi menyokong, 44 menentang dan 43 berkecuali, penggubal undang-undang EU meluluskan akta baharu yang hanya membenarkan produk dijual di EU jika pembekal dapat membuktikan bahawa "produk itu bukan berasal dari hutan yang ditebang atau telah membawa kepada degradasi hutan" menerusi "penilaian wajar", menurut badan perundangan EU dalam satu kenyataan.

Perundangan baharu itu terpakai untuk komoditi seperti arang, koko, kopi, minyak sawit, getah, soya dan kayu dan ternakan lembu.

Ia juga termasuk barangan yang diperbuat daripada, mengandungi atau telah diberi makan dengan produk yang dinyatakan di atas, seperti kulit, coklat, perabot dan produk kertas bercetak.

Atas permintaan Parlimen Eropah, syarikat juga perlu memberi keterangan bahawa barangan itu dihasilkan selaras dengan perundangan negara itu sendiri, termasuk menghormati hak asasi manusia dan perlindungan kepada Orang Asli.

Suruhanjaya Eropah akan menetapkan kriteria bagi pensijilan "penilaian wajar" berdasarkan klasifikasi penebangan hutan yang rendah, standard dan berisiko tinggi, di negara asal.

Syarikat yang memalsukan pensijilan atau gagal mematuhi peraturan EU boleh berdepan penalti sehingga 4 peratus daripada perolehan tahunan mereka.

Negara anggota EU masih belum menerima pakai undang-undang itu secara rasmi.

Menurut PBB, lebih 420 juta hektar hutan ditebang untuk pertanian antara 1990 dan 2020.

Penggunaan oleh EU menyumbang kira-kira 10 peratus daripada penebangan hutan global.

--BERNAMA-ANADOLU