BANGKOK: Parti Move Forward Thailand dan perikatannya yakin dapat mewujudkan kerajaan yang stabil dan seimbang selepas kemenangan menakjubkan dalam pilihan raya umum pada Ahad.

Perikatan itu kini mempunyai 313 daripada 500 kerusi dalam Dewan Perwakilan Rakyat dengan dengan Pita Limjaroenrat sebagai calon perdana menteri.

Pita berkata gabungan itu terdiri daripada lapan parti iaitu Move Forward yang memenangi 152 kerusi, Pheu Thai (141), Prachachat (sembilan), Thai Sang Thai (enam), Pue Thai Rumphlang (dua), Thai Liberal Party, Fair Party, dan Plung Sungkom Mai masing-masing satu kerusi.

"Pakatan itu sedang dibentuk dengan teguh. Ada kemajuan. Kami mempunyai pelan hala tuju yang sangat jelas mulai hari ini dan sehingga hari saya menjadi perdana menteri.

"Semua pihak bersetuju menyokong pemimpin Move Forward - Pita Limjaroenrat menjadi Perdana Menteri ke-30," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pita berkata gabungan itu sedang mengusahakan memorandum persefahaman (MoU) yang akan menggariskan kerjasama dan agenda dalam membentuk kerajaan.

MoU itu akan dikongsi dengan orang ramai pada 22 Mei yang memberi makna signifikan kerana ia menandakan sembilan tahun sejak tentera merampas kuasa daripada Yingluck Shinawatra pada 2014.

Gabungan yang diterajui Move Forward perlu meraih sokongan untuk memastikan ia memperoleh undi yang mencukupi semasa pemilihan perdana menteri.

Gabungan itu memerlukan 376 undi daripada 750 anggota Dewan Rakyat sebelum melantik perdana menteri dan membentuk kerajaan.

250 senator yang dilantik oleh tentera selepas rampasan kuasa 2014 mempunyai peranan dalam menentukan pencalonan perdana menteri.

Senator mempunyai rekod berpihak kepada parti yang disokong tentera.

Pada pilihan raya umum 2019, kesemua 250 senator, kecuali seorang - Speaker Dewan Negara, mengundi menyokong Prayuth sebagai perdana menteri.

Memandangkan gabungan itu memerlukan 63 undi lagi untuk menentukan perdana menteri baharu Thailand, Pita berkata bilangan ahli parlimen adalah mencukupi tetapi gabungan itu akan terus memperoleh lebih banyak undi.

Sementara itu, gabungan itu mungkin terjejas apabila Parti Bhumjaithai, yang menduduki tempat ketiga pada pilihan raya Ahad dengan unjuran 70 kerusi, mengumumkan bahawa ia tidak akan menyokong mana-mana calon perdana menteri yang menyokong dasar untuk meminda atau memansuhkan undang-undang fitnah diraja, lese-majeste.

Move Forward telah mencadangkan beberapa perubahan kepada undang-undang lese-majeste yang kontroversi.

Mengenai kes yang difailkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya yang bertujuan untuk membatalkan kelayakannya berhubung syernya dalam sebuah syarikat media, Pita dengan yakin menyatakan, "Saya tidak bimbang."

"Saya sedia disiasat," katanya.

-- BERNAMA