BANGKOK: Kerajaan sementara harus mengekalkan kod etika tradisional, mematuhi Perlembagaan dengan tegas serta tidak memindahkan mana-mana pegawai peringkat tinggi, khususnya setiausaha tetap di Kementerian sementara menunggu kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran.

Memetik Bangkok Post, Timbalan Ketua Parti Pheu Thai Phumtham Wechayachai dalam kenyataan pada Jumaat mengingatkan kerajaan sementara di bawah Perdana Menteri Sementara, Jen Prayuth Chan-o-cha, untuk mematuhi Perlembagaan melarang meluluskan mana-mana projek yang boleh mewujudkan tanggungjawab terikat kepada kerajaan baharu, serta pemindahan atau pelantikan pegawai tinggi.

Tambah beliau, tindakan itu boleh menjejaskan usaha kerajaan baharu untuk melaksanakan dasar-dasar.

"Terdapat keperluan untuk kerajaan baharu melaksanakan dasar yang telah dibentangkan kepada rakyat, bermula dari hari pertama mendapat mandat.

"Pegawai kerajaan, menjadi mekanisme penting untuk mengemudi dasar itu menjadi amalan sebenar, terutama masalah ekonomi negara. Ia melibatkan semua kumpulan perniagaan dan mesti ditangani dengan cepat," katanya.

Jelas beliau, setiausaha tetap semua kementerian, khususnya adalah mekanisme terpenting bagi pentadbiran kerajaan baharu.

Sementara itu, sebagai maklum balas kenyataan Phumtham, Timbalan Jurucakap Kerajaan Tipanan Sirichana meyakinkan Parti Pheu Thai bahawa kerajaan sementara mematuhi dengan teliti peruntukan yang digariskan.

Dalam pada itu, kerajaan sementara amat berhati-hati untuk memastikan tiada bebanan ditanggung pentadbiran yang akan datang.

Pheu Thai, yang memenangi jumlah kerusi kedua tertinggi dalam PRU 14 Mei, sedang berusaha untuk menamatkan kemelut politik dan membentuk kerajaan tanpa Parti Move Forward (MFP).

Sebelum ini, Pheu Thai menjalin pakatan dengan tujuh parti lain iaitu Parti Bhumjaithai, Parti Prachachat, Parti Chart Pattana Kla, Parti Pue Thai Rumphlang, Parti Liberal Thai, Parti Plung Sungkom Mai dan Parti Thai Countries.

Bagaimanapun, gabungan sembilan parti itu masih kekurangan sokongan kerana seorang Perdana Menteri memerlukan 375 undi di Parlimen dwidewan yang mempunyai 749 anggota untuk membolehkan membentuk kerajaan.

Gabungan itu masih perlu meraih sokongan daripada 250 Senator di Dewan Negara.