Pasaran saham Indonesia kembali beroperasi, indeks utama kekal tidak menentu

Mengikut peraturan IDX, dagangan akan digantung sementara selama 30 minit apabila indeks penanda aras itu menjunam lebih lapan peratus dalam tempoh satu hari dagangan.
JAKARTA: Aktiviti dagangan Bursa Saham Indonesia (IDX) kembali beroperasi pada Rabu selepas digantung sementara apabila Indeks Komposit Jakarta (IHSG) menjunam lapan peratus pada sesi dagangan intra harian.
Walaupun pasaran dibuka semula pada kira-kira jam 2.13 petang waktu tempatan (jam 3.13 petang waktu Malaysia), indeks petunjuk utama itu kekal tidak menentu dan merosot di bawah paras 8,400.
Setakat jam 3.26 petang waktu tempatan, IHSG merosot 7.74 peratus atau 695.37 mata kepada 8,284.86 berbanding 8,980.23 pada penutup semalam selepas dibuka pada 8,393.51.
Mengikut peraturan IDX, dagangan akan digantung sementara selama 30 minit apabila indeks penanda aras itu menjunam lebih lapan peratus dalam tempoh satu hari dagangan.
Lanjutan 30 minit seterusnya dilaksanakan jika kerugian itu melebihi 15 peratus manakala dagangan berkemungkinan digantung bagi tempoh berbaki atau lebih lama dengan kelulusan pihak pengawal selia jika terus menjunam melebihi 20 peratus.
Menurut IHSG, mekanisme itu bertujuan memberi ruang bagi mudah tunai selain masa untuk pelabur meneliti semula strategi masing-masing di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran.
Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd menerusi laporan aliran dana bagi minggu berakhir 23 Januari lepas menyatakan Indonesia menyaksikan aliran masuk dana asing bagi minggu ke-16 berturut-turut yang berjumlah AS$1.49 bilion.
Menurutnya, walaupun angka itu kekal memberangsangkan, ini sebaliknya memaparkan penyederhanaan kecil berbanding paras tertinggi sebelum ini yang berjumlah AS$1.75 bilion.
Laporan itu turut mengaitkan perkembangan berkenaan sebagai susulan tindakan dana kekayaan berdaulat Indonesia, Danantara Indonesia, yang berhasrat melaburkan sehingga AS$14.0 bilion pada 2026 dengan menumpukan tenaga boleh baharu dan peralihan tenaga, infrastruktur digital, penjagaan kesihatan serta agenda keterjaminan makanan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


