Pasukan keselamatan gagalkan kumpulan pengganas di utara India

Operasi antikeganasan yang sedang dijalankan itu dilaksanakan di daerah Faridabad dalam negeri utara Haryana. - Pexels
NEW DELHI: Pasukan keselamatan India menahan sekurang-kurangnya tiga doktor bersama rakan mereka kerana memiliki bahan mudah terbakar, raifal, peluru, dan bahan terlarang lain dalam operasi besar-besaran membanteras keganasan, menurut sumber rasmi pada Isnin, lapor Xinhua.
Operasi antikeganasan yang sedang dijalankan itu dilaksanakan di daerah Faridabad dalam negeri utara Haryana.
"Penahanan terbaharu melibatkan golongan profesional berkelulusan tinggi seperti doktor yang terbabit dalam kumpulan pengganas menunjukkan trend membimbangkan rangkaian pengganas yang aktif di negara ini," kata seorang pakar keselamatan yang dipetik oleh media tempatan.
Menurut laporan dalam talian oleh India Today, seorang daripada doktor yang ditahan dikenal pasti sebagai Muzammil Shakeel, yang merupakan tenaga pengajar di Universiti Al-Falah yang terletak di daerah Faridabad.
"Berasal dari Kashmir yang ditadbir India, Dr Muzammil ditahan pasukan bersama polis Kashmir dan Haryana pada 9 Nov," kata seorang pegawai kanan polis.
Polis menemui 360 kilogram bahan yang disyaki ammonium nitrat, sejenis bahan kimia yang sering digunakan untuk membuat bahan letupan buatan sendiri (IED), disimpan dalam 12 beg dan beg pakaian di rumah Muzammil.
Pesuruhjaya Polis Faridabad, Satender Kumar Gupta berkata Muzammil mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas yang diharamkan.
Menurut laporan media, beberapa siri serbuan dijalankan di kampung Fatehpur Taga di daerah Faridabad berdasarkan maklumat risikan. Polis tempatan berkata lebih banyak tangkapan dijangka dibuat dalam beberapa hari akan datang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


