DUNIA
PBB, ASEAN desak masyarakat dunia lindungi lautan yang kian terancam

PBB menggesa kerajaan dan rakan antarabangsa untuk bersama-sama melindungi lautan luas daripada pencemaran yang kian meningkat serta mencegah eksploitasi sumber marin secara berlebihan. - Gambar fail
PHNOM PENH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN hari ini memberi amaran bahawa lautan yang menjadi sumber makanan dan pekerjaan kepada jutaan penduduk dunia kini berdepan pelbagai ancaman dan memerlukan perhatian segera.
Ringkasan AI
- PBB dan ASEAN memberi amaran bahawa lautan dunia kini terancam akibat pencemaran, eksploitasi berlebihan dan perubahan iklim, yang menjejaskan sumber makanan, pekerjaan dan biodiversiti marin.
- Setiausaha Agung PBB menyeru tindakan segera untuk melindungi lautan yang menghasilkan 50% oksigen dunia dan menjadi sumber protein kepada lebih satu bilion penduduk, dengan tema Hari Lautan Sedunia 2025 ialah "Wonder: Sustaining what sustains us."
- ASEAN menyokong seruan global untuk pengurusan mampan lautan demi generasi akan datang, selari dengan Persidangan Lautan PBB yang berlangsung di Nice, Perancis dari 9 hingga 13 Jun 2025.
"Tetapi hari ini, lautan memerlukan bantuan kita. Isyarat kecemasan jelas kelihatan - daripada perairan yang dicemari plastik kepada populasi ikan yang merosot serta kehilangan ekosistem marin, daripada suhu yang meningkat kepada kenaikan aras laut," katanya.
Hari Lautan Sedunia disambut pada 8 Jun setiap tahun, dengan tema 2025 ialah "Wonder: Sustaining what sustains us".
Menurut PBB, lautan menghasilkan sekurang-kurangnya 50 peratus oksigen di Bumi, menjadi habitat kepada sebahagian besar biodiversiti dunia dan sumber utama protein kepada lebih satu bilion penduduk.
Lautan juga dijangka menyediakan sumber pekerjaan kepada kira-kira 40 juta orang melalui industri berasaskan lautan menjelang 2030, menurut laman web PBB.
Namun, dalam tempoh beberapa dekad, 90 peratus populasi ikan besar telah pupus manakala 50 peratus terumbu karang musnah akibat eksploitasi sumber laut secara besar-besaran tanpa usaha pemulihan.
Di rantau ini, ASEAN turut menyuarakan kebimbangan serupa dan memberi amaran tentang pelbagai ancaman terhadap laut termasuk pencemaran dan perubahan iklim.
"Di seluruh ASEAN, laut menyokong mata pencarian, menjadi sumber makanan kepada jutaan penduduk serta menyimpan khazanah semula jadi dan warisan budaya yang luas.
"Namun, lautan kita sedang terancam akibat pencemaran, eksploitasi berlebihan dan perubahan iklim. ASEAN menyertai seruan global untuk melindungi dan mengurus ekosistem marin secara mampan demi generasi akan datang," menurut pertubuhan serantau itu menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Pemimpin global sedang berkumpul untuk menghadiri Persidangan Lautan PBB ketiga yang dianjurkan bersama oleh Perancis dan Costa Rica dan diadakan di Nice, Perancis dari 9 hingga 13 Jun 2025.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami