HAMILTON (KANADA): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menzahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap permusuhan terbaharu antara Afghanistan dan Pakistan yang mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakapnya Stephane Dujarric berkata dalam sidang media bahawa ketua PBB itu "menggesa pemberhentian segera permusuhan dan perlindungan terhadap orang awam."
Sambil menggesa Afghanistan dan Pakistan supaya "menyelesaikan perbezaan mereka melalui diplomasi", Dujarric berkata: "Kami terus menggesa semua pihak mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan terus menegaskan bahawa orang awam serta infrastruktur awam mesti dilindungi pada setiap masa."
Dujarric turut merujuk kepada kenyataan Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) yang mengesahkan bahawa "ramai orang awam terkorban dan cedera dalam serangan udara yang dilancarkan Pakistan di wilayah Paktya, Paktika serta Kunar, dan semua serangan itu berlaku malam tadi."
"Rakan kemanusiaan kami turut memaklumkan bahawa serangan terbaharu itu dipercayai telah mencetuskan perpindahan penduduk, manakala rakan kongsi kemanusiaan di lapangan sedang menilai keperluan serta membuat persiapan untuk menyalurkan bantuan kecemasan," tambah Dujarric.
Pakistan pada Isnin memaklumkan bahawa ia menyasarkan tempat persembunyian kumpulan bersenjata di Afghanistan susulan beberapa insiden "pengganas" di wilayahnya, manakala Kabul mendakwa serangan terbaharu itu mengorbankan puluhan orang awam.
Serangan itu berlaku selepas sekumpulan individu bersenjata menyerbu sebuah kemudahan keselamatan di bandar pelabuhan Karachi, selatan Pakistan pada Sabtu, mengakibatkan tiga anggota separa tentera dan tiga penyerang maut. Seorang lagi penyerang berjaya ditangkap dan mengalami kecederaan.
Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu terus tegang susulan beberapa siri serangan kumpulan bersenjata di Pakistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang mencetuskan beberapa pertempuran di kawasan sempadan.
Islamabad menuduh Kabul membenarkan wilayahnya digunakan oleh kumpulan militan, namun Afghanistan menafikan dakwaan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU